Along Cham fail penceraian lafaz taklik

Sinar Harian
Januari 28, 2025 15:30 MYT
Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini.- Gambar fail/Bernama
PELAWAK Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, memfailkan pengesahan cerai taklik tersebut dan tiba di mahkamah pada jam 12 tengah hari tadi bersama ibunya.
“Along Cham fail cerai dan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ni,” ujar sumber terbabit.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.
Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14 tahun.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan. -- Sinar Harian
#Along Cham #lafaz cerai taklik #Afreena Suhaimi #kes dadah #terkini
;