'Allahyarham lesu, berkelakuan berbeza semalam' - Isteri Zaibo
Astro Awani
November 14, 2018 19:52 MYT
November 14, 2018 19:52 MYT
Suasana pilu menyelubungi kediaman pelakon Allahyarham Zaibo apabila sanak-saudara serta rakan seni tanah air berkunjung untuk memberi penghormatan terakhir mereka.
Tinjauan Astro AWANI di kediaman beliau mendapati pekarangan rumahnya di Rengit, Batu Pahat mula dipenuhi seawal jam 2 petang tadi.
Menurut isteri Allahyarham, Siti Hawa Sawal, suaminya kelihatan lesu ketika menjamah sarapan pagi tadi.
“Pagi tadi dia minta mandi, mungkin dia nak sedapkan hati saya. Selalunya dia tak boleh, makan jadi saya kasi macam biasa suapkan dia makan. Selepas itu saya keluar untuk cari keperluan dia seperti lampin orang dewasa dan sebagainya.
“Bila saya pulang, saya lihat wajah beliau dah lain, lalu saya minta kakak dan abang ipar saya bacakan Yassin, arwah sempat meminta tolong untuk mengambil anak kecilnya dari sekolah,” kata Hawa ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.
Sementara itu, anak tiri bongsu Allahyarham, Mohd Naufal Hamdan,10 tahun mengetahui tentang pemergian bapanya apabila dijemput ibunya ketika waktu sekolah.
Beliau yang sedih dengan pemergian bapanya berkata dia berazam untuk menjaga keluarga sebaik mungkin seperti mana permintaan terakhir arwah.
“Kakak bagi tahu ayah tengah nazak, ayah pesan belajar rajin-rajin dan tolong emak dan tolong abang,” kata Mohd Naufal.
Dalam pada itu, rakan artis yang juga penulis lirik, Habsah Hassan berkata, walaupun sedih dengan pemergian beliau namun dia redha.
Ketika dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham, penulis lirik veteran bersama rakan artis, Rubiah Suparman berada di Melaka yang ketika itu dalam perjalanan menziarahi Allahyarham.
Menurut Habsah, kali terakhir Allahyarham menelefonnya adalah 10 hari lalu untuk memaklumkannya bahawa mesej WhatsApp tidak berbala kerana beliau sedang menjalani rawatan alternatif.
Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd. Hamid, 62 tahun, selain terkenal sebagai pelawak tanahair turut dikenali di Singapura selepas memegang watak sebagai penjual mee rebus dalam sitkom Under One Roof, dari negara seberang tambak itu.
Sepanjang karier beliau, Allahyarham juga pernah membintangi filem epik, Anna and the King.
Allahyarham meninggal dunia sekitar jam 1.30 petang tadi selepas bertarung dengan kanser esofagus.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan sembilan anak tiri.
#Batu Pahat
#habsah hassan
#kanser esofagus
#karier
#meninggal dunia
#pelakon
#Rubiah Suparman
#selebriti
#Singapura
#Siti Hawa Sawal
#Zaibo