Allahyarham Jamali Shadat pelopor 'standup comedy' di negara ini - Afdlin Shauki
Hafizi Rosli
Februari 3, 2021 14:17 MYT
Februari 3, 2021 14:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menjadikan pelawak veteran, Allahyarham Jamali Shadat sebagai antara idolanya ketika menceburi bidang seni.
Jelasnya, Allahyarham dianggap bapa 'standup comedy' di negara ini dan adalah antara pelopor kepada cabang seni ini.
“Sewaktu memasuki bidang seni ini, saya sering menjadikan Allahyarham sebagai idola saya.
“Allahyarham mepunyai kebolehan standup comedy dan beliau adalah pelopor dalam bidang seni ini,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Rabu.
Tambah Afdlin, pembawakan Allahyarham dan lawaknya mencetuskan satu suasana baharu sehingga menjadi ikutan kepada semua termasuk dirinya sendiri.
“Jamali Shadat adalah seorang penghibur pentas yang hebat.
“Walaupun berjenaka, banyak elemen nasihat diselitkan yang beri kesan kepada penonton,” katanya.
Beliau turut mendoakan semoga keluarga tabah menghadapi pemergian bintang ini.
“Satu kehilangan besar buat industri seni terutama industri kreatif dan komedi ini," jelasnya lagi.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang, pada pagi Rabu.