'Allah masih sayangkan saya' - Wan Maimunah

Sinar Harian
Ogos 16, 2018 20:00 MYT
Dalam pada itu, Wan Maimunah yang turut mengalirkan air mata dalam mesejnya memberitahu fitnah yang tersebar itu akan menyusahkan orang lain termasuk kaum keluarganya. - Gambar fail
SENIWATI terkenal, Wan Maimunah memohon agar tiada lagi pihak yang menyebarkan fitnah kononnya dia telah meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka sejak Sabtu lalu.
Wan Maimunah menerusi rakaman video yang dikirimkan kepada mStar Online melalui presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave yang melawat pelakon itu memberitahu dia masih lagi bernyawa dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang tuduhan.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sekarang saya ada bersama dengan Datuk DJ Dave yang datang menziarahi saya.
"Dia saksikan, ALLAH masih sayangkan saya, masih bagi saya nyawa dan nafas.
"Apa yang digembar-gemburkan dalam YouTube itu adalah fitnah semata-mata," katanya.
Pemilik nama sebenar Wan Maimunah Wan Aziz, 64, itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Pada akhir November 2016, pelakon terkenal dengan watak air mata itu pernah dimasukkan di Hospital Jasin, Melaka akibat komplikasi penyakit yang sama dan jantung bengkak.
Dalam pada itu, Wan Maimunah yang turut mengalirkan air mata dalam mesejnya memberitahu fitnah yang tersebar itu akan menyusahkan orang lain termasuk kaum keluarganya.
Malah paling membimbangkan sekiranya berita tidak benar itu sampai ke pengetahuan anaknya yang kini bekerja di luar negara.
"Anak saya jauh di luar negara, kalau dia dapat tahu macam mana? Signal telefon di hospital pun kadang-kadang tidak berapa baik.
"Jadi minta tolong, janganlah suka buat fitnah macam ini kepada yang lain-lain ... Menyusahkan orang lain," jelasnya.
#Datuk DJ Dave #fitnah #jangkitan kuman #jantung bengkak #komplikasi jantung #presiden #Wan Maimunah #Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air #YKAT
;