'All Together Now Malaysia' dihentikan sementara

Astro Awani
Jun 8, 2021 21:26 MYT
Sehubungan pengamalan SOP yang ketat, pihak pengurusan artis, pembantu peribadi (PA) dan mereka yang tidak terlibat tidak dibenarkan untuk berada di premis ketika rakaman berlangsung. - Sumber foto Astro
KUALA LUMPUR: Pihak penerbitan rancangan ‘All Together Now Malaysia’ memutuskan untuk menghentikan sementara program tersebut sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selesai.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).
"Krew penerbitan telah menjalankan ujian calitan COVID-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman," katanya.
"Set yang dibina telah mengambil kira penjarakan fizikal antara juri dan diletakkan penghadang lutsinar antara mereka," tambah Raqim.
Rakaman program tersebut juga turut dihadiri wakil daripada agensi-agensi keselamatan.
Terdahulu, satu laporan berita tempatan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), jelas laporan itu.
Laporan itu turut memetik bahawa KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti wujud berlakunya pelanggaran SOP sepanjang rakaman program berkenaan.
#Majlis Keselamatan Negara #MKN #Astro #COVID-19 #Raqim Ahmad #total lockdown #All Together Now #penjarakan fizikal #agensi keselamatan
;