'All Together Now Malaysia' bakal ketengah bakat baharu

Asyraf Roslan
Mei 28, 2021 10:00 MYT
Sherry Alhadad berperanan sebagai hos bagi mengendalikan program tersebut yang akan bersiaran selama 10 minggu. -Foto Astro
KUALA LUMPUR: Selepas ditayangkan di lebih 16 buah negara, kini masa untuk rakyat Malaysia merasai kehangatan program realiti All Together Now Malaysia (ATNM) yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.
Sebelum ini program realiti yang menampilkan 100 orang juri ini telah mendapat sambutan hangat penonton dari negara Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Finland, dan Perancis.
Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini dalam versi tempatan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, format ATNM ini dipilih bagi mengetengahkan bakat-bakat baharu selain daripada kalangan artis sedia ada.
"Antara sebab mengapa Astro memilih format ini sebab kita sudah lama tidak mengetengahkan bakat-bakat lain selain daripada artis sedia ada.
"Kita dah ada Big Stage, Gegar Vaganza... jadi ini merupakan satu program yang kita buka untuk mereka di luar sana mengetengahkan bakat mereka pula.
“Kalau boleh kita nak tunjuk melalui program ini, di Malaysia kita masih mempunyai bakat-bakat baharu yang belum diketengahkan,” katanya dalam sidang media ATNM.
Masih mengekalkan format asal program, namun terdapat pengisian elemen tempatan yang disuntik bagi menambah baik format asal bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia.
Dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ATNM juga melakukan sedikit perubahan daripada segi jumlah juri yang terlibat dalam program tersebut.
Jika di luar negara mereka menampilkan 100 orang juri, namun di Malaysia program ini hanya menampilkan 50 orang juri sahaja.
Penyanyi, Erra Fazira yang merupakan salah seorang juri ATNM mengaku sangat teruja menyertai program ini.
Ia kerana bukan sahaja dapat berkumpul dengan rakan artis, malah beliau juga dapat melihat bakat-bakat baharu yang belum diketengahkan kepada umum.
“Saya sangat teruja menjadi salah seorang daripada 49 juri yang lain, dan saya sangat bangga melihat semua peserta yang dapat membuat persembahan di hadapan 50 juri.
“Kita kadang-kadang depan tiga empat orang juri pun kita dah gugup, ini pula mereka yang harus menyanyi depan 50 juri.
"Namun mereka melakukannya dengan baik sekali,” katanya pada sidang media ATNM yang diadakan secara dalam talian.
Selain Erra Fazira, antara selebriti lain yang turut terlibat sebagai juri ialah Daniel Chean (Gempak TV), Haniff Era, Khai Bahar, Siti Nordiana, Azzam Sham, Ifa Raziah, dan Datuk AC Mizal selaku Kapten.
Sherry Alhadad pula berperanan sebagai hos bagi mengendalikan program tersebut yang akan bersiaran selama 10 minggu.
ATNM akan bersiaran setiap Ahad bermula 6 Jun 2021 di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
#All Together Now Malaysia #All Together Now #BBC One #United Kingdom #SOP #Astro #Erra Fazira #Datuk AC Mizal #Daniel Gempak TV #Haniff ERA #Syamel #Ernie Zakri #Khai Bahar #Big Stage #Gegar Vaganza #Siti Nordiana
;