All Stars GV: Tiada penyingkiran, lapan peserta mara ke konsert akhir
Asyraf Roslan
Disember 3, 2023 23:37 MYT
Disember 3, 2023 23:37 MYT
SHAH ALAM: Semua peserta boleh menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan pada konsert separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dan terus berjaya ke konsert akhir pada Ahad depan.
Keputusan itu diumumkan semasa segmen 'Ada Lagu Ada Lagi' yang menyaksikan kesemua peserta mempunyai lagu untuk dibawakan dipentas akhir.
Tomok diumumkan sebagai peserta pertama yang berjaya melangkah ke pentas akhir sekali gus menjadi juara mingguan.
Akan memberi saingan sengit buat Tomok di konsert akhir itu nanti adalah Azharina, Siti Nordiana, Hady Mirza, Naqiu, Nikki Palikat, dan Jaclyn Victor.
Juara akan ditentukan melalui penilaian akhir juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S termasuk seorang juri jemputan.
Minggu akhir ASGV menyaksikan kesemua finalis akan menyampaikan lagu yang bertemakan Konsert Akhir.
Berikut merupakan senarai lagu untuk konsert akhir All Stars Gegar Vaganza:
Tomok:
1. Seberapa Pantas
2. Terbang duet bersama Armand Maulana
Nikki Palikat:
1. Tragedi Buah Apel
2. Ikhlas tapi jauh duet bersama Datuk Zainal Abidin
Naqiu:
1.Nur Nilam Sari
2. Kasih Bayangan duet bersama Cakra Khan
Hady Mirza:
1. Making Love Out of Nothing at all
2. Andainya masih ada cinta duet bersama Dayang Nurfaizah
Jaclyn Victor
1. When You Believe
2. Sandarkan pada kenangan duet bersama Datuk Jamal Abdillah
Liza Hanim
1. My Heart Will Go On
2. Terus Hidup duet bersama Aina Abdul
Azharina
1. Halo
2. Kamelia duet bersama Datuk Ramli Sarip
Siti Nordiana
1. Kisah Hati
2. Kelmarin duet bersama Ivan Seventeen
Peserta juga akan mempunyai pusingan battle untuk konsert finale yang mengabungkan empat penyanyi dalam satu kumpulan dengan lagu Kill This Love nyanyian asal BLACKPINK dan Sorry,Sorry daripada Super Junior.
Juara tahun ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi dan akan berentap di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.
Konsert Akhir All Stars Gegar Vaganza yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.