All Stars GV: Tiada penyingkiran, Artis A-list warnai minggu duet
Asyraf Roslan
Oktober 9, 2023 09:00 MYT
Oktober 9, 2023 09:00 MYT
SHAH ALAM: Peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Ayai Illusi boleh menarik nafas lega kerana masih diberi peluang untuk bertanding di dalam program tersebut.
Persembahan Ayai menerusi lagu Donde dendangan asal Andi Bernadee gagal menarik hati juri tetap sekali gus meletakkan beliau di kedudukan bahaya dengan markah sebanyak 51.75 peratus.
Selain Ayai, turut berada di tangga tiga terbawah adalah Datuk Aisyah (57.25 peratus) dan Zamani yang menyanyikan lagu Yang sedang-sedang sahaja dengan markah sebanyak 53.75 peratus.
Bukan sahaja dengan kejutan tiada penyingkiran, minggu keempat akan datang memberi peluang kepada peserta untuk menyanyikan lagu duet yang bertemakan berdua bersatu bersama penyanyi A-list Malaysia pilihan mereka.
Antara penyanyi A-list yang akan memeriahkan pentas ASGV minggu depan adalah Misha Omar, Ziana Zain, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S selama 12 minggu.
Juara tahun ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi dan akan berentap di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.
All Stars Gegar Vaganza dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse serta Elly Mazlein dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.