All Stars GV: Malam suku akhir bukan untuk Aliff Aziz
Asyraf Roslan
November 26, 2023 23:24 MYT
November 26, 2023 23:24 MYT
KUALA LUMPUR : Penyanyi Aliff Aziz menjadi peserta kelapan yang harus meninggalkan pentas All Stars Gegar Vaganza.
Keputusan itu diumumkan semasa segmen 'Ada Lagu, Ada Lagi'.
Persembahan Alif menerusi lagu mash-up Gambus Jodoh dan Cindai nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza gagal menambat hati juri pada malam ini.
Selain Aliff Aziz, turut berada di tangga tiga terbawah adalah Azharina dan Liza Hanim.
Persembahan mantap daripada Naqiu yang menyanyi lagu Bol Radha Bol dan Ala Emak Kahwinkan Aku berjaya menempatkannya ke minggu separuh akhir sekali gus menjadi juara mingguan.
Selain Naqiu, turut berada di tangga tiga teratas adalah Hady Mirza dan Jaclyn Victor.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S selama 12 minggu.
Untuk minggu separuh akhir peserta yang masih kekal akan menyampaikan lagu bertemakan Kompilasi Kapak Leleh.
Juara tahun ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi dan akan berentap di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.
All Stars Gegar Vaganza yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.