All Stars Gegar Vaganza: Jangkaan tersasar, Liza Hanim tetap menang di hati peminat

Asyraf Roslan
Disember 11, 2023 14:39 MYT
Sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh peminat sepanjang bertanding menjadi satu hadiah besar buat pelantun lagu Gelisah Mimpi ini.- Foto Astro/Azrul Rafie
KUALA LUMPUR: Auranya yang kuat sepanjang bertanding di pentas All Stars Gegar Vaganza membuatkan nama Liza Hanim disebut-sebut sebagai peserta yang akan bergelar juara.
Namun jangkaan peminat pada malam Ahad tersasar apabila Jaclyn Victor pula yang diangkat sebagai juara.
Meskipun tidak berjaya, Liza Hanim tetap bersyukur kerana dapat menamatkan musim ini dengan satu penamat yang indah.
Sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh peminat sepanjang bertanding menjadi satu hadiah besar buat pelantun lagu Gelisah Mimpi ini.
“Rezekinya itu semua sudah tertulis, bila kita terlalu memikirkannya kita mungkin akan overthinking, overdo… jadi bila dah sampai final ini saya sudah berkata kepada diri saya yang saya mahu menikmati persembahan ini.
"Walaupun orang mengharapkan kita menang, namun dengan sokongan yang diberikan daripada anda (peminat) dan mendapat kata-kata itu daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza membuatkan saya tersenyum sebab saya tahu saya telah buat sesuatu yang betul di pentas yang membuatkan ramai yang berkata begitu.
"Itu sahaja sudah membuatkan saya gembira, apabila saya tahu saya telah mengakhiri dua belas minggu All Stars GV dengan persembahan yang baik kepada peminat.. yang penting memenangi hati semua," katanya.
Pada masa sama, Liza turut berkongsi pernah muncul perasaan mahu mengalah sepanjang bergelar penyanyi selama 27 tahun yang turut menghantuinya semasa berada di dalam pertandingan ini.
Namun dia harus kuat kerana ada orang di belakangnya yang mempercayai kebolehannya.
“Dalam 27 tahun menjadi penyanyi pernah terfikir untuk berhenti dan meninggalkan arena ini namun ada segelintir yang masih percayakan saya dan mahukan saya menyanyi, saya harap anda semua mempunyai perasaan yang sama.
“Beberapa minggu lepas semasa saya ada saat-saat sukar perasaan itu kembali tetapi saya kena fight kerana saya kata saya perlu sampai ke malam ini (final) itu target saya kalau dalam GV namun saya nak juga berkongsi segala perasaan saya ini sepanjang bergelar penyanyi bersama peminat semasa konsert saya yang akan datang nanti,” ujar Liza.
Liza Hanim mendapat 72.34 peratus markah daripada juri tetap menerusi persembahannya yang menyanyikan lagu My Heart Will Go On, Terus Hidup bersama Aina Abdul dan Kill This Love nyanyian asal BLACKPINK untuk segmen battle bersama Tomok, Jaclyn Victor dan Siti Nordiana.
#Liza Hanim #All Stars Gegar Vaganza #Aina Abdul
;