'Aliff Aziz tak ajar anak guna gajet' - Bella Astillah

Gempak
Disember 20, 2017 16:08 MYT
Aliff Aziz dan Bella Astillah tidak mahu anak mereka, Mohamad Ayden Adrean yang berusia lima bulan, ketagih dengan gajet seperti iPad.
ISTERI kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah akui suaminya tidak mendedahkan anak lelaki mereka, Mohamad Ayden Adrean kepada barangan elektronik.
Menurut Bella, dia tidak mahu anak mereka yang baru berusia lima bulan ketagih dengan alat tersebut.
"Saya faham setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk mendidik anak, cuma Aliff memilih untuk tidak mahu mendedahkan Ayden kepada gajet.
"Lagipun usia Ayden baru sahaja lima bulan dan masih kecil, jangan diajar takut nanti dia ketagih dan tidak mahu berenggang dengan gajet.
"Dia juga pernah berpesan jika Ayden menangis sekalipun jangan tunjukkan telefon pintar ataupun iPad.
"Jadi kalau Ayden menangis, kami akan pujuk dan berbual dengannya. Ayden jenis yang sukakan perhatian dan mahukan orang sentiasa bercakap dengan dia.
"Kami menggunakan pendekatan seperti itu, untuk dedahkan gajet rasanya belum tiba masanya lagi untuk Ayden," katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Bella memberitahu buat masa ini dia lebih selesa menjadi surirumah sepenuh masa dan meluangkan masa bersama keluarga.
"Tak apa, rezeki ada di mana-mana. Ayden masih kecil jadi biarlah saya fokus pada dia dahulu.
"Sebenarnya saya juga ada merancang untuk memulakan perniagaan, mungkin berkaitan dengan fesyen. Tetapi bukanlah dalam masa terdekat," ujarnya.
Foto: Instagram @bellaastillah
Teks oleh: Mya Amri
#Aliff Aziz #Bella Astillah #gajet #iPad
;