Aliff Aziz, Ruhainies tampil mohon maaf, bakal jelaskan perkara sebenar

Sinar Harian
Mac 10, 2024 11:00 MYT
Hantaran Aliff Aziz (kiri) dan Ruhainies (kanan) di Instagram masing-masing.
SHAH ALAM: Pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies yang terpalit dengan kontroversi didakwa berkhalwat pada awal pagi Jumaat di sebuah kondominium mewah di ibu negara tampil membuat permohonan maaf melalui media sosial masing-masing.
Aliff yang juga selebriti kelahiran Singapura dalam masa sama turut memaklumkan akan memberikan keterangan kepada umum mengenai kejadian sebenar untuk mengelak lebih banyak salah faham timbul.
"Terdapat banyak spekulasi dan laporan berlebihan dengan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi saya juga faham tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.
"Seharusnya keadaan yang dapat dielak akan tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelakkan lebih salah faham tentang apa yang terjadi," ujar suami kepada selebriti Bella Astillah menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.
Menurut pelantun lagu 'Sayang Sayang' itu, tujuan dirinya ingin membuat keterangan bukan untuk menegakkan benang yang basah, sebaliknya sekadar berkongsi kepada pihak yang ingin mendengarnya.
"Selebihnya saya mohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua. Insya-Allah," katanya.
Sementara itu, Ruhainies melalui hantaran di Instagram berkata, terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat tersebar di media sosial mengenai kes membabitkan dirinya dan Aliff.
"Walau bagaimanapun saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi. Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan dari kekeliruan dan salah faham. Insya-Allah," katanya.
Media pada Sabtu melaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan tangkapan pasangan selebriti dipercayai berkhalwat di sebuah kondo mewah di ibu kota pada malam Jumaat.
BACA: Artis berstatus suami orang, pelakon wanita dicekup berkhalwat?
Jawi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan penahanan pasangan artis berstatus suami orang dengan seorang pelakon wanita seperti dilaporkan media sejak awal pagi Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan.
Selebriti lelaki tersebut dikatakan pernah bercerai sebelum rujuk dengan isterinya semula.
Bahkan berita tangkap tersebut turut disahkan oleh adik/kakak ipar kepada selebriti lelaki berkenaan.
Laporan itu menyebut penguat kuasa Jawi terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas suspek enggan membuka pintu unit berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur selepas bomba mahu memecahkan pintu jika mereka enggan memberikan kerjasama selepas hampir tiga jam pasukan penguat kuasa Jawi berada di depan rumah milik pelakon wanita terbabit. - Sinar Harian
#Aliff Aziz #Ruhainies #khalwat #JAWI
;