Aliff Ali, pelakon kelahiran Malaysia kritikal akibat COVID-19 di Indonesia
Agensi
Januari 7, 2021 16:15 MYT
Januari 7, 2021 16:15 MYT
JAKARTA: Aliff Ali Khan pelakon kelahiran Malaysia yang menempa kemasyhuran di Indonesia dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dijangkiti COVID-19.
Media tempatan melaporkan, ketika ini, adik kepada aktor Miller Khan itu sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Wisma Atlet, di sini.
Berkongsi khabar terkini keadaan Aliff, peguamnya, Asgar Sjarfi berkata, beliau dimaklumkan, artis berkenaan belum menunjukkan sebarang perubahan yang positif sekalipun sudah tiga minggu dirawat.
Bahkan, Aliff, 29, juga, kata Asgar, terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan
"Dia semakin kritikal dan tidak menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
"Keadaannya bertambah buruk selepas tiga minggu menjalani pengasingan di Wisma Atlet. Dalam masa sama, Aliff berhadapan tekanan kerana proses kes perceraian bersama bekas isterinya Aska Ongi yang masih lagi berjalan," ujar Asgar.
Apa yang membuatkan Asgar risau mengenai anak guamnya itu ialah beliau menghadapi kesulitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan Aliff kerana terputus komunikasi.
Katanya, pada dua minggu pertama, beliau masih lagi boleh berbalas mesej dengan Aliff menerusi aplikasi WhatsApp.
“Selepas dua minggu, hubungan terputus, WhatsApp tidak lagi berjawab dan kami tidak boleh menziarahinya di sana (Wisma Atlet)… kami hanya boleh bertanya khabar Aliff melalui jururawat,” katanya lagi.
Aliff mengikut jejak langkah abangnya berhijrah ke Indonesia untuk mengembangkan kerjaya lakonan mereka.
Antara filem terbitan produksi Indonesia yang pernah dibintangi Aliff ialah Heart 2 Heart selain drama-drama popular seperti Kau Yang Berasal Dari Bintang serta Aisyah Putri The Series: Jilbab In Love.
Aliff juga sepatutnya menghadiri kes perceraiannya dengan Aska Ongi di Pengadilan Agama Jakarta Pusat pada Selasa lalu.
Aktor tampan itu berkahwin dengan Aska Ongi pada 19 Disember 2018 di Bali, namun, rumah tangga mereka hanya bertahan selama 11 bulan.
Menerusi perkahwinan itu, Aliff dan Aska dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Alyssa Ismillah Khan.
Sebelum menikahi Aska Ongi, Aliff juga pernah mendirikan rumah tangga dengan model terkenal, Nora Alexandra pada 2016.
Bagaimanapun, rumah tangga Aliff Ali dan Nora hanya bertahan selama setahun.
#Pelakon Malaysia
#Aliff Ali Khan
#miller khan
#kritikal
#COVID-19
#Rumah Sakit Wisma Atlet
#Jakarta
#Indonesia