Alif Satar seronok, menangis duet dengan Raihan

Gempak
April 8, 2022 11:05 MYT
Alif Satar dan The Locos teruja dapat kembali bekerjasama dengan kumpulan Raihan buat kali ketiga. - Gambar GEMPAK
PENYANYI dan pelakon, Alif Satar teruja dapat kembali bekerjasama dengan kumpulan Raihan buat kali ketiga.
Tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya, Alif mengaku mengalirkan air mata sewaktu sesi rakaman berlangsung.
Kata Alif, lirik dan lagu-lagu Raihan sememangnya sangat menyentuh hati sehingga membuatkan dirinya berasa sebak.
“Lagu-lagu Raihan penuh kesedaran dan menyentuh perasaan. Jadi bila kita rakam hampir kesemua lagu-lagu zikir, selawat, berulang-ulang kali memang sebak.
“Secara automatik perasaan itu datang dari hati, bila kami mahu merakamkan semula lagu itu, saya terpaksa minta semua orang berhenti seketika kerana terlalu sebak. Itulah antara momen yang saya ingat sampai sekarang,” katanya ketika ditemui Gempak.
Mengimbas kembali proses rakaman, Alif berkata, segalanya berjalan dengan lancar dan amat bermakna bagi dirinya.
Lebih-lebih lagi kali ini ketika proses rakaman, Raihan benar-benar berada di sisinya.
“Sewaktu lagu Sesungguhnya pada tahun 2019 sebelum ini, masa saya rekod, ketika itu secara berseorangan namun untuk proses rakaman lima lagu ini abang-abang Raihan semua duduk di sebelah saya.
“Menyanyi bersama-sama, rakamkan seperti persembahan akustik secara langsung. Ini merupakan pengalaman pertama saya sepanjang 16 tahun terlibat dengan rakaman seperti ini.
“Jadi bila sewaktu saya menyanyi itu umpama mengimbas kembali detik saya berusia tujuh tahun. Mama dengan ayah bawa saya ke sekolah pasang lagu Raihan.
“25 tahun kemudian, di sini lah saya duduk bersebelahan dengan idola dan ikon saya. Momen itu sangat menyentuh perasaan saya.
“Bukan sahaja untuk saya tetapi anggota The Locos juga merasai perasaan yang sama. Lagu-lagu ini dah terbentuk dalam jiwa rakyat Malaysia, saya pasti mereka akan tahu lagu ini.
“Lima lagu ini antara yang saya rasa lagu sing a long kumpulan Raihan,” jelasnya.
Tambah Alif lagi, walaupun sudah tiga kali bekerjasama dengan Raihan namun perasaan gementarnya tetap ada.
“Nak jadikan cerita saya dengar lagu Raihan sejak umur tujuh tahun jadi kiranya saya dah 'practice' selama 25 tahun untuk detik ini, lima lagu ini.
“Sesi rakaman hanya mengambil masa dua jam, ini menunjukkan betapa anda sangat mengenali lagu itu, sebagai contoh jika saya menyanyikan salah lirik pun saya pasti anda semua akan tahu.
“Semua proses selesai dalam tempoh dua hari. Apa yang menarik, setiap lagu yang dirakam hanya sekali sahaja ibarat menyanyi secara langsung.
“Sejujurnya saya masih lagi berasa gementar walaupun kami sudah bekerjasama sebanyak tiga kali. Raihan ini bagi saya sangat berharga.
“Mereka bertaraf antarabangsa namun sikap mereka kekal sama, tidak sombong, murah dengan senyuman dan gemar berkongsi ilmu pengetahuan. Sangat senang bekerja dengan mereka,” ujarnya.
Alif bersama kumpulannya, The Locos kembali dengan merakamkan semula lima lagu bersama Raihan.
Kolaborasi ketiga mereka ini dijadikan koleksi EP istimewa yang diberi nama The Sunnah The Better yang diterbitkan secara eksklusif oleh Warner Music Malaysia.
Lagu-lagu yang dirakamkan adalah Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian x Syukur (medley), Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu.
Sebelum ini, Alif & The Locos telah bekerjasama bersama Raihan menerusi lagu Sesungguhnya pada tahun 2019 dan Damba Cinta Mu pada tahun 2020.
Ketiga-tiganya dilakukan semasa menyambut bulan istimewa iaitu Ramadan.
Kesemua muzik video EP ini boleh ditonton secara berperingkat di YouTube Alif Satar secara berperingkat.
#Alif Satar #Raihan #The Sunnah The Better #Ramadan
;