Alif Satar perluas kempen #GengSubuhMacamJumaat ke UK
Bernama
Mac 30, 2024 18:17 MYT
Mac 30, 2024 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kempen #GengSubuhMacamJumaat diilhamkan oleh selebriti serba boleh Alif Satar bagi menggalakkan orang ramai mengimarahkan masjid pada waktu solat subuh akan diperluas kepada komuniti Islam di United Kingdom pertengahan bulan depan.
"Mesti bagus kalau buat dekat sana, kalau di Malaysia kita boleh tarik berpuluh ribu orang datang, insya-Allah kita cuba.
"Benda ni sangat organik dan tak payah rancang sangat. Macam sebelum ini Alif letak di Instagram sahaja esok nak pergi masjid mana, esoknya ramai yang datang, itulah keindahan #GengSubuhMacamJumaat ni," katanya yang berazam untuk meneruskan fenomena itu sepanjang hayatnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pengumuman Alif sebagai duta syarikat jualan emas Grand Bullion Gold Sdn Bhd yang juga merupakan penaja konsert jelajah berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Alif beliau akan bekerjasama dengan kedutaan Malaysia di United Kingdom bagi merealisasikan inisiatif berkenaan yang akan menggunakan templat serupa antaranya aktiviti joging selepas selesai solat subuh.
Penyanyi lagu 'Sesungguhnya Aku' itu juga berkongsi lagu duetnya bersama kumpulan nasyid Raihan yang pernah mendapat perhatian dan diciap semula oleh London Grand Central Mosque.
Berkongsi lanjut mengenai konsert jelajah itu, Alif berkata ini merupakan kali kedua kumpulan berkenaan beraksi di negara itu selepas pertama kali pada 2019.
"Sebelum ini kami buka untuk 500 orang tetapi alhamdulillah penuh orang datang, harap sambutan yang sama diterima pada konsert kedua ini juga," katanya sambil menambah akan mempersembahkan antara 15 hingga 20 lagu termasuk lagu nasyid.
Alif berharap keberadaan kumpulan itu di sana menghiburkan pada awal Syawal juga dapat mengubat kerinduan rakyat Malaysia terhadap tanah air.
-- BERNAMA