‘Alhamdulillah, tenang’ - Fazura tiba di mahkamah
Faida Rahim
September 25, 2024 10:00 MYT
September 25, 2024 10:00 MYT
PETALING: Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, bagi sebutan kes permohonan cerai ke atas suaminya, Fattah Amin pada jam 9.25 pagi Rabu.
“Alhamdulillah, tenang…tenang,” kata Fazura ringkas.
Fazura diiringi empat pengawal peribadi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam manakala pengawal peribadi menaiki kenderaan Range Rover.
Dalam pada itu, Fattah tiba lebih awal menaiki sebuah kenderaan Audi berwarna biru dan masuk menerusi pintu belakang mahkamah.
Sebelum ini, isu keretakan rumah tangga Fazura, 41, dan Fattah, 34, hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Kisah pasangan terkenal ini terus menjadi perbincangan di gelanggang media sosial hingga menarik perhatian netizen.
Fazura dilapor menjelaskan, dia dan Fattah menangkis gosip mendakwa rumah tangga bermasalah hanyalah andaian dan memaklumkan dia dan Fattah sepakat tidak menunjukkan kebahagiaan dalam media sosial bagi menghormati isu Palestin.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.