"Alhamdulillah, selesai urusan faraid" - balu Abam Bocey puas hati keputusan mahkamah
Gempak
September 10, 2020 15:33 MYT
September 10, 2020 15:33 MYT
"Alhamdulillah, selesai urusan faraid,". Demikian reaksi balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali yang menzahirkan rasa puas hati dengan tuntutan faraid yang difailkan pada 15 Julai lalu.
Menurut ibu kepada Syed Uthman Hamzah itu, keputusan mengenai tuntutan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis.
Kata Norhidayah, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak itu membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham suaminya itu.
"Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
"Selepas ini, tolong doakan sahaja yang terbaik buat saya dan anak," katanya memetik laporan Gempak.
Jelas Norhidayah, proses mahkamah tidak terjejas walaupun pihak keluarga Allahyarham Abam Bocey tidak hadir kerana bahagian masing-masing sudah dibahagikan mahkamah.
"Apa sahaja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain telah difaraidkan," katanya.
Bagaimanapun, menurut laporan yang sama, Norhidayah enggan mendedahkan jumlah wang peninggalan arwah suaminya dan dakwaan adik ipar suaminya yang juga pelawak, Ali Puteh mengenai pengeluaran RM10,000 daripada akaun Allahyarham.
"Keputusan untuk berpindah ke rumah itu, tak tahu lagi kena tunggu urusan faraid diselesaikan. Nak dapatkan kereta semula pun, insya-Allah.
"Apa yang saya boleh kata, RM10,000 memang saya ambil tapi masuk dalam akaun anak dan tak guna satu sen pun," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menafikan spekulasi yang mendakwa kereta milik Allahyarham sudah ditarik.
"Kereta kena tarik tak benar. Kereta masih ada, tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga," kata Norhidayah.
Tambahnya, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada Oktober depan mengenai tuntutan hadanah susulan ibu mentuanya, Sabariah Arshad gagal hadir ke mahkamah hari ini.
"Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah," katanya.
Pada 10 Februari lalu, Allahyarham Abam Bocey atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di usia 32 tahun di kediamannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat demam panas dan menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
#Ali Puteh
#Allahyarham Abam Bocey
#Balu Allahyarham
#Demam panas
#Gombak
#Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
#meninggal dunia
#Siti Norhidayah Mohd Ali
#Syed Uthman Hamzah
#Tuntutan faraid