"Alhamdulillah, berkat Ramadan dan tahajud" - Puteri Sarah syukur kes cerai selesai dengan baik
Gempak
April 10, 2023 15:01 MYT
April 10, 2023 15:01 MYT
PELAKON, Puteri Sarah Liyana menzahirkan rasa syukur apabila permohonan penceraian yang diajukan sudah dipersetujui oleh Syamsul Yusof mengikut syarat yang akan dibentangkan pada 18 April depan.
“Alhamdulilah kami dah berjumpa dan kami dah berbincang semua terma serta syarat. Apa yang saya dan dia mahu berkenaan anak-anak, nafkah dan sebagainya.
“Malam semalam kami selesaikan semuanya juga. Alhamdulilillah berkat bulan Ramadan dan juga tahajud. Jadi semuanya dipermudahkan hari ini.
“Kita sudah boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya semua selesai. Tak perlu nak pening-pening lagi,” katanya.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.
“Kedua-dua pihak sudah menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara aman dan baik. Jadi kita akan datang minggu depan untuk mengesahkan penjanjian itu dan lafaz cerai.
“Tarikh baharu adalah 18 April depan, untuk mencari persepakatan mengenai terma-terma yang sudah pun dibincangkan. Pada hari itu, kita akan rekod di Mahkmah Rendah dan Mahkamah Tinggi kerana membabitkan anak-anak. Anak-anak adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Selepas lafaz cerai, kita akan rekod ke Mahkamah Tinggi untuk rekod berkenaan isu hadanah dan selepas itu kita akan jadikan perintah mahkamah,” katanya.
Ditanya mengenai proses JKP, Akberdin berkata semuanya sudah selesai kerana kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan untuk memuktamadkan tarikh penceraian.
“Pada tarikh akan datang, Syamsul akan lafazkan cerai kerana sudah ada persetujuan,” katanya.
Bagaimanapun, Syamsul enggan mengulas lanjut berkenaan hasil persetujuan yang dicapai, hari ini.
“Semua sudah selesai. Ini semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih,” katanya ringkas sambil menuju ke tempat letak kereta.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.
Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. -- Gempak