Alena julang nama Sarawak di persada muzik dunia - Abdul Karim

Astro Awani
November 18, 2020 17:20 MYT
Abdul Karim menyifatkan pencalonan Alena Murang dalam dua kategori estival Video Muzik Buenos Aires 2020 sebagai pencapaian yang amat membanggakan Sarawak. - Foto BERNAMA
KUCHING: Pencalonan penyanyi dan bintang Sape kelahiran Sarawak, Alena Murang dalam dua kategori Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 disifatkan sebagai satu lagi catatan sejarah dalam dunia seni Bumi Kenyalang.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang berbangga dengan pencalonan gadis kacukan Kelabit dan Itali itu menganggap kejayaan Alena ini bakal memperkenalkan lagi nama Sarawak di persada dunia.
“Alena tidak dapat berada secara fizikal di Buenos Aires, tapi mereka yang menonton akan tertanya-tanya di manakah tempat ini, di manakah Sarawak, di manakah Kuching?
“Ini sudah cukup baik untuk kita kerana ia akan menjadi satu promosi untuk Sarawak dan industri ini,” ujarnya ketika ditemui AWANI Sarawak di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini.
Abdul Karim pada masa sama berharap Alena akan memenangi kedua dua kategori yang dipertandingkan iaitu Video Antarabangsa Terbaik dan Penggayaan Terbaik menerusi lagu Midang-Midang.
Video muzik berdurasi 3.27 minit ini tidak hanya mengalunkan irama indah Bumi Kenyalang malah memaparkan beberapa lokasi semulajadi menarik yang ada di Sarawak.
Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 yang akan berlangsung secara maya pada 27 hingga 29 November ini.
BACA: Alena Murang dicalon untuk Anugerah Festival Video Muzik Buenos Aires
#Alena Murang #Sarawak #video muzik #Kuching #Abdul Karim Rahman Hamzah #Midang-Midang #Buenos Aires
;