Album 'Janji" buah tangan baharu Dayang Nurfaizah untuk peminat

Bernama
Oktober 12, 2024 14:45 MYT
Album Janji dengan 13 buah lagu itu mengetengahkan kedalaman emosi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, dengan bertemakan tentang cinta, harapan dan kekuatan. - Instagram Dayang Nurfaizah
SELEPAS muncul dengan album tradisional Belagu II tahun lepas, penyanyi bergenre pop, R&B dan balada, Dayang Nurfaizah bakal tampil dengan album baharu berjudul Janji yang akan dilancarkan 22 Nov ini.
Album dengan 13 buah lagu itu mengetengahkan kedalaman emosi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, dengan bertemakan tentang cinta, harapan dan kekuatan yang dipersembahkan dalam campuran lagu balada dan rancak.
Sebuah lagu yang terkandung di dalam album itu berjudul Lemah, ciptaan Heal Husaini dengan susunan oleh Mac Chew, akan mula disiarkan secara penstriman di semua platform utama Jumaat depan.
"Lagu ini sangat bermakna bagi saya. Saya telah mencurahkan hati saya ke dalam Lemah, dan saya harap lagu ini dapat menyentuh pendengar dengan mendalam.
"Bekerja dengan Hael sentiasa memberikan pengalaman yang luar biasa. Keterampilan muziknya dalam mencipta melodi yang indah dengan emosi yang tulus dan tema yang boleh dikaitkan, memang tiada bandingan lagi, dan saya tidak sabar untuk melihat bagaimana kerjasama terbaharu kami berkembang," kongsinya dalam kenyataan.
Sementara itu, Hael menganggap kerjasama dengan Dayang Nurfaizah sebagai satu penghormatan selain turut menyifatkan suara dan tafsiran penyanyi berkenaan memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa.
Video muzik untuk lagu tersebut dihasilkan oleh penerbit terkenal Lily Samsuddin yang bakal memperdalam impak emosi lagu itu secara visual menggunakan metafora.
-- BERNAMA
#Dayang Nurfaizah #album baharu #janji #Heal Husaini
;