Album baru Adele '25' tampil penuh emosi, peminat mula meruntun
Kohilah Sekaran
November 21, 2015 14:16 MYT
November 21, 2015 14:16 MYT
HARI ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh semua peminat penyanyi kelahiran Britain, Adele di seluruh dunia.
Penyanyi antarabangsa itu melancarkan album ketiganya, 25 di pasaran hari ini, iaitu pada 21 November 2015 (waktu Malaysia).
'25' dilabel sebagai album paling dinanti-nantikan tahun ini, dengan majalah Billboard menjangkakan album itu akan mencecah jualan 2.5 juta pada minggu pertama.
Kali terakhir sebuah album berjaya dijual sebanyak itu pada minggu pertama adalah pada tahun 2000, iaitu album No Strings Attached oleh boyband 'NSYNC.
Susulan pelancaran rasmi itu, media sosial dibanjiri dengan pelbagai reaksi positif.
Nampaknya, album terbaru Adele telah disambut meriah oleh peminat-peminatnya.
Menurut mereka, semua lagu di bawah album 25 itu cukup bagus dan penuh emosi.
Memetik laporan Hollywood, album 25 Adele kini berada tangga pertama dalam carta iTunes selepas mengatasi rekod album baru Justin Bieber, Purpose.
Bagaimanapun, Adele dikatakan telah membuat keputusan untuk tidak meletakkan lagu-lagu daripada albumnya yang berjudul '25' di mana-mana aplikasi, seperti Spotify dan Apple Music.
Buat masa ini, hanya single pertama dari '25', Hello sahaja yang boleh didapati melalui aplikasi penstriman muzik.
Adele menjadi penyanyi ketiga bertindak sedemikian, selepas Beyonce dan Taylor Swift.
Sebelum ini, Hello mencatat jumlah tontonan 27.7 juta dalam masa 24 jam di Vevo, mengatasi rekod 20.1 juta tontonan yang dicatatkan oleh muzik video Bad Blood oleh Taylor Swift.