Album baharu 'ubat kemurungan', Ed Sheeran dedah isteri hidap tumor
Hasimi Muhamad
Mac 1, 2023 00:26 MYT
Mac 1, 2023 00:26 MYT
PENYANYI dan menulis lirik, Ed Sheeran mendedahkan mengalami kemurungan pada tahun lalu selepas mengetahui isterinya, Cherry Seaborn disahkan menghidap tumor.
Ed Sheeran atau nama sebenarnya Edward Christopher Sheeran, 32 tahun, berkata Seaborn dikesan mengalami ketumbuhan ketika hamil anak kedua.
Berkongsi detik sukar itu, Ed Sheeran berkata keadaan bertambah sukar apabila sahabatnya, Jamal Edwards meninggal dunia secara mengejut.
Lebih menyedihkan, bintang popular Hollywood itu berkata, ketika itu dia berada di mahkamah hampir setiap hari bagi menghadapi kes perbicaraan hak cipta.
"Satu siri peristiwa mengubah hidup dan kesihatan mental sehingga akhirnya saya melihat kepada muzik serta seni.
"Menulis lagu adalah terapi. Ia membantu memahami perasaan. Saya menulis tanpa memikirkan bagaimana lagu itu (akan terhasil)... saya hanya menulis apa yang terlintas.
"Dalam masa lebih seminggu saya menggantikan kerja selama sedekad dengan pemikiran yang paling gelap," katanya dalam kemas kini di laman Instagramnya pada Rabu.
Pelantun lagu Perfect itu ketika mengumumkan album baharu berkata, tumor yang dihadapi isterinya tidak boleh dirawat sehingga dia melahirkan anak.
Situasi berkenaan menambah beban di bahu penyanyi Shape of you itu sehingga mengakibatkan dia hidup dalam 'ketakutan dan kebimbangan'.
"Saya berasa seperti lemas, kepala di bawah permukaan... melihat ke atas tetapi tidak dapat bernafas," katanya.
Dalam masa yang sama, Ed Sheeran berkata, album baharunya, Subtract disifatkan sebagai membuka 'pintu perangkap' dalam jiwanya.
"Buat pertama kali, saya tidak cuba mencipta album yang orang ramai suka,(tetapi) saya hanya mengeluarkan sesuatu yang jujur dan benar dalam kehidupan dewasa saya," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan Ed Sheeran dan Seaborn melangsungkan perkahwinan secara rahsia beberapa hari menjelang Natal pada 2018.
Pasangan itu menerima cahaya mata pertama bernama Lyra Antarctica Saeborn Sheeran pada Ogos 2020.
Seaborn melahirkan anak kedua pada Mei tahun lalu.