Alaminya sendiri, pembukaan Astro Experience Store pertama di Pulau Pinang meriah!
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 20, 2022 19:49 MYT
Ogos 20, 2022 19:49 MYT
BAYAN BARU: Buat julung kalinya Astro melancarkan Astro Experience Store di Pulau Pinang hari ini dalam usaha memberi perkhidmatan dan pengalaman terkini kepada pelanggannya.
Terletak di tingkat dua pusat membeli belah Queensbay Mall, para pelanggan dapat melihat secara dekat pelbagai produk dan perkhidmatan terkini daripada Astro di situ.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TV dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata, Astro menyediakan ruang fizikal menerusi Astro Experience Store yang pertama di Pulau Pinang agar pelanggan dapat menikmati kandungan terbaik bersama Astro.
Smith berkata, para pelanggan juga boleh mencuba kesemua ciri-ciri Ultra Box termasuk 4K UHD, mengetahui nilai pek TV terbaik dan cara-cara menikmati hiburan secara on the go dengan aplikasi Astro GO.
"Sudah tiba masanya kami bawakan Astro Experience Store buat pertama kalinya ke Queensbay Mall ini, pelanggan boleh datang dan menikmati sendiri semua pakej Astro yang ada,
"Kita ada Ultra Box, Astro on Demand, HBO GO, kita juga akan membawa lebih banyak selebriti Astro dan seperti hari ini kami bawakan Games of Thrones (House Of Dragon), kita bawakan juga pemain badminton negara Goh Liu Ying, personaliti, watak Didi & Friends, kami akan bawa lebih banyak acara menarik ke sini. Kami sudah bersedia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian pembukaan Astro Experience Store di Queensbay Mall di Pulau Pinang pada Sabtu.
Para pelanggan khususnya peminat Games of Thrones (HBO) katanya boleh mendapatkan set barangan eksklusif House of The Dragon dan berpeluang memenangi kerusi gaming edisi terhad House of Dragon X Secretlab apabila mendaftar atau menaik taraf ke Pek Astro Movie, Premium 1 dan 3.
Dalam pada itu, Smith berkata, selepas Pulau Pinang, pihak Astro akan membuka Astro Experience Store kedua di Kuala Lumpur.