Akui mahu anak ramai, namun Aril Pilus reda isteri perlu buang rahim akibat fibroid

Gempak
Mac 18, 2023 16:10 MYT
Mereka reda dan akur apabila dimaklumkan isterinya perlu membuang rahim ketika melahirkan cahaya mata kedua nanti akibat ketumbuhan fibroid. -Gempak
PENYANYI Aril Pilus mengakui dia dan isteri, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin mempunyai perancangan untuk mempunyai anak sekurang-kurangnya dua atau tiga orang.
Bagaimanapun, Aril memberitahu mereka reda dan akur apabila dimaklumkan isterinya perlu membuang rahim ketika melahirkan cahaya mata kedua nanti akibat ketumbuhan fibroid.
“Saya dan isteri mahu anak seramai dua atau tiga orang, namun apabila ini adalah ketentuanNya kita terima.
"Hati mana yang tidak sedih namun hakikat itu perlu diterima kerana bukan bertanya pada bomoh sebaliknya pakar.
“Sebelum ini isteri ada mengadu mengenai rasa keras pada bahagian perut namun tidak sangka pula sehingga begini.
"Mungkin kami juga masing-masing sibuk bekerja,” katanya.
Aril turut Aril Pilus menjelaskan dia sekadar ingin berkongsi berita gembira mengenai kehamilan isterinya dan memohon doa agar semuanya berjalan lancar.
Biarpun kandungan isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin baru mencecah enam minggu, namun Aril percaya kepada percaturan Allah SWT
“Terlalu banyak negativiti pada ketika ini, jadi saya sekadar ingin berkongsi khabar gembira mengenai kehamilan isteri saya.
"Betul, saya ada terfikir hendak menunggu sehingga kandungan lebih kuat, namun akhirnya saya muat naik setelah berbincang dengan isteri.
“Bukan apa, jika kita lihat ketika ini industri seni tempatan penuh dengan perkara negatif dan penuh kontroversi. Bergaduh, menipu, bercerai dan sebagainya, jadi saya selangi dengan berita gembira ini.
“Sudah lama sebenarnya saya menanti untuk kehadiran cahaya mata kedua, selepas lapan tahun akhirnya doa saya termakbul. Sejak Jumaat lepas saya berfikir sama hendak memuat naik berita gembira itu atau tidak.
“Setelah berbincang dengan isteri, akhirnya saya ambil keputusan untuk muat naik di media sosial. Memandangkan baru saja enam minggu, semoga doa yang baik-baik juga buat kandungan isteri saya,” katanya.
Aril, 38, yang merupakan adik kepada Allahyarham penyanyi Izwan Pilus mendirikan rumah tangga bersama Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin pada 20 Disember 2013.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Tun Adriel Mikael yang kini berusia tujuh tahun. -Gempak
#Aril Pilus #Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin #ketumbuhan fibroid #buang rahim
;