Akui hidap kanser tahap 4, Elyana buat audiens GV4 terkejut
Gempak
November 26, 2017 06:39 MYT
November 26, 2017 06:39 MYT
BEKAS bintang GegarVaganza 4 (GV 4) Elyana mengejutkan audiens apabila mengaku menghidap kanser tahap empat.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal membuat pengakuan tersebut secara terbuka selepas diumumkan tersingkir di konsert minggu kelima GV 4 pada malam Ahad.
“Selama tujuh tahun saya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan orang di luar sana.
“Saya tidak mahu menipu lagi, terutama kepada peminat dan cukuplah selama ini saya diamkan sahaja.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya cuba mencari jalan dan waktu terbaik bagaimana caranya untuk saya memberitahu peminat.
“Hari ini saya rasa seperti dah hampakan peminat sebab saya masuk GV 4 ini untuk mereka,” katanya yang menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu.
Elyana ditemui selepas konsert minggu kelima yang berlangsung di Dewan Sri Putra malam tadi.
Enggan bersedih, Elyana bagaimanapun akui berasa lega selepas mendedahkan kondisi dirinya kepada umum.
“Dah berpuluh-puluh kemoterapi saya tempuhi. Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan nafas oleh Allah sehingga ke hari ini.
“Tapi apa yang paling saya takut sekali adalah tidur malam.
“Saya takut saya tak bangun esok pagi, jadi setiap hari saya menghargai momen-momen yang saya akan jalani.
“Sejujurnya saya berasa lega selepas memberitahu perkara ini kepada peminat,” jelasnya.
Elyana disahkan menghidap kanser selepas melahirkan anaknya, Cinta Sumayyah tujuh tahun lalu.
Teks oleh: Mya Amri