"Aku sakit mental, sesekali kronik" - Luahan Yasin Sulaiman di sebalik tirai besi
Hasimi Muhamad
Julai 24, 2022 15:41 MYT
Julai 24, 2022 15:41 MYT
KUALA LUMPUR: "Aku sakit mental... sesekali kronik."
Itu antara bait-bait lirik bertajuk Aku Bipolar yang dihasilkan penyanyi nasyid dan kompser, Yasin Sulaiman yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja.
Lagu terbaharu yang dihasilkan Yasin atau nama sebenarnya, Mohammad Yasin Sulaiman, 46, dimuat naik di laman Instagram miliknya hari ini.
Ia merupakan lagu kedua yang dicipta oleh pelantun lagu Mimpi Laila itu sejak berada di sebalik tirai besi, yang mana lagu pertama dihasilkan pada Mei lalu selepas lebih sebulan ditahan di penjara.
Lagu Aku Bipolar, yang berkisarkan tentang luahan perasaan Yasin dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarganya bersama tanda pagar #YasinSulaiman dan #Solidarityforyasinsulaiman.
Selain mendakwa mengalami sakit mental, lirik lagu tersebut antara lain turut dipercayai menyatakan bahawa Yasin memerlukan 'rawatan kanabis' bagi mengubati penyakit yang dihidapinya.
"Fikiran melayang, ku alami psikosis...," demikian memetik bait lagu tersebut lagi.
Pada penghujung lirik tersebut, selebriti berdarah kacukan Melayu dan Australia dilihat sekali lagi menekankan perkataan "aku bipolar.. harap maklum."
Sebelum ini, Yasin ketika ditemu bual sebuah portal berita mengakui menghidap penyakit bipolar disorder atau gangguan bipolar sejak 2009.
Dia juga mengaku pernah menerima rawatan di wad psikiatri selama dua minggu di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Pada 6 Julai lalu, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada Mac.
Bagaimanapun, dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.