'Aku akan teruskan' - Ini janji Achey buat keluarga Abam

Fareez Azman
Februari 10, 2020 17:39 MYT
Achey dan Fad akan meneruskan perancangan Allahyarham dan menyumbang sebahagian hasil pendapatan itu kepada keluarga Allahyarham
“Saya akan teruskan semua perancangan Allahyarham Abam,” itu janji Mohd Nasir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Achey, rakan seperjuangan Allahyarham Abam Bocey ketika ditemui Astro AWANI disini, pada Isnin.
Jelasnya, Abam bukan sekadar sebagai seorang sahabat malah dianggap seperti keluarganya sendiri.
“Setiap detik yang kami lalui itu, akan kami bina untuk masa akan datang. Dalam keadaan dia sakit, dia tetap hendak buat kerja. Masa Lawak Ke Der, kaki dia (Abam) retak tetapi dia tetap hendak buat kerja,” kata Achey.
BACA: "Abam cari rezeki kuat bantu mak dan adik" - Ustaz Ebit Lew kongsi kisah arwah Abam
Tambah Achey lagi, Allahyarham sebelum ini ada merancang untuk mengadakan program bersama mereka bertiga (Fad, Achey dan Allahyarham) di media sosial.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai atas pemergian sahabat yang sudah dianggap seperti abangnya itu.
Walau bagaimanapun ujar Achey, dia dan Fad akan meneruskan perancangan Allahyarham dan menyumbang sebahagian hasil pendapatan itu kepada keluarga Allahyarham.
Mengenai keadaan Abam, pada malam Ahad, beliau menerima maklumat bahawa Allahyarham mengalami demam panas namun tidak menyangka, rakannya itu akan pergi buat selama-lamanya.
Allahyarham yang nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Zakaria, Gombak Utara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sg Pusu petang ini.
#Abam #Abam meninggal dunia #Achey #Astro Awani #Bocey #jenazah #keluarga
;