Aktres Nia Ramadhani menangis dijatuhi hukuman penjara setahun

Gempak
Januari 11, 2022 18:36 MYT
Nia dan suaminya serta pemandu, Zen Vivanto dilaporkan dijatuhkan hukuman penjara setahun. Hukuman tersebut diputuskan oleh barisan hakim yang diketuai Hakim Ketua Muhammad Damis di Pengadilan Negeri (PN) Jakarta Pusat, pada Selasa. - Gambar fail
KES salah laku dadah yang melibatkan selebriti Nia Ramadhani bersama suaminya, Ardi Bakrie dan pemandu peribadi mereka ‘berakhir’ dengan hukuman masuk penjara.
Nia dan suaminya serta pemandu, Zen Vivanto dilaporkan dijatuhkan hukuman penjara setahun. Hukuman tersebut diputuskan oleh barisan hakim yang diketuai Hakim Ketua Muhammad Damis di Pengadilan Negeri (PN) Jakarta Pusat, hari ini.
“Hukuman yang patut dijatuhkan kepada para terdakwa adalah hukuman penjara kerana terdakwa Zen Vivanto, Nia Ramadhani dan Ardi Bakrie telah terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan kesalahan," kata Muhammad Damis seperti dilaporkan Kompas.
Sebaik mendengar keputusan hakim, Nia dilihat hanya menundukkan kepala dan menitiskan air mata sambil Ardi hanya mampu memandang isterinya yang sedang menangis.
Selain Nia, ada ahli keluarga dan sahabat termasuk pengurus pelakon berkenaan turut kelihatan berlinangan air mata.
Sebelum ini, Nia, Ardi dan pemandu mereka telah diarahkan menjalani proses pemulihan di sebuah pusat RSKO Cibubur selama 12 bulan. Namun, mereka hanya sempat menjalani pemulihan selama lima bulan di pusat pemulihan, Fan Campus, Cisarua, Jawa Barat.
Terdahulu, pemandu peribadi pasangan tersebut telah ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 0.78 gram pada pertengahan tahun 2021.
Penangkapannya membawa kepada penahanan Nia, yang ketika itu dipercayai sedang melakukan aktiviti melibatkan penggunaan syabu. Ardi, kemudiannya datang menyerah diri di balai polis pada hari yang sama.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Gempak.
#Nia Ramadhani #Ardi Bakrie #Zen Vivanto #penjara setahun ambil dadah jenis syabu
;