Aktor Bollywood, Samir Sharma, ditemui tergantung dipercayai bunuh diri

Agensi
Ogos 7, 2020 18:43 MYT
Samir merupakan kes bunuh diri keempat di Bollywood dalam tempoh lima bulan. - Foto/Instagram
Pelakon Bollywood, Samir Sharma, yang pernah membintangi filem Hindi "Hasee Toh Phasee" selain rancangan televisyen popular, "Kahani Ghar Ghar Ki" dan "Woh Rehne Wali Mehlon Ki", ditemui mati di rumahnya di Barat Malad, Mumbai, pada Rabu.
Laporan polis menyebut Samir, 44, ditemui tergantung di kipas siling dapurnya. Dia yang telah berpisah dengan isterinya dan tinggal sendirian, tidak meninggalkan sebarang catatan.
"Nampaknya ini adalah kes bunuh diri. Kami syak dia sudah meninggal dunia sejak dua hari yang lalu,” kata Inspektor Kanan, George Fernandes seperti yang dipetik portal The Times of India.
Berdasarkan maklumat, kematian Samir didaftarkan sebagai kemalangan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Mayat Samir ditemui oleh penjaga bangunan yang melakukan pemeriksaan, sebelum menghubungi polis.
Ini merupakan kes bunuh diri keempat di Bollywood dalam tempoh lima bulan, selepas pelakon Sushant Singh Rajput, Manmeet Grewal dan Preksha Mehta.
BACA: Aktor Bollywood meninggal dunia, disyaki bunuh diri
Ia sekaligus membawa tumpuan terhadap isu kesihatan mental. Pakar kesihatan mental menyatakan ia mungkin berpunca daripada situasi semasa ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.
Ini termasuk tekanan kewangan, kekurangan pilihan pekerjaan, perubahan besar dalam gaya hidup dan kesunyian ditambah dengan ketakutan untuk menghadapi masa depan.
BACA: Pelakon terkenal Jepun Haruma Miura meninggal dunia selepas ditemui tergantung
#Bollywood #bunuh diri #India #kemalangan #kesihatan #koronavirus #meninggal dunia #Mumbai #pandemik #Samir Sharma
;