Aktor Ada Apa Dengan Cinta ditahan terlibat penyalahgunaan dadah
Agensi
Mei 24, 2022 21:14 MYT
Mei 24, 2022 21:14 MYT
AKTOR Indonesia, Gary Iskak sekali lagi ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menurut laporan, pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu ditahan di sebuah rumah di Bandung pada Isnin ketika di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine bersama empat individu lain.
Ini kali kedua Gary ditangkap kerana dadah selepas menjalani hukuman penjara atas kes yang sama pada 21 September 2007.
Tangkapan kali ini mengejutkan banyak pihak di Indonesia kerana dia sebelum ini disahkan menghidap kanser dan dimasukkan ke hospital selama lapan hari.
Situasinya pada ketika itu mencemaskan peminat apabila gambarnya yang terlantar di hospital memakai tiub pernafasan menjadi tular di media sosial.
"Ketika itu, saya hanya menyerah, pasrah," kata Gary dilaporkan media pada 5 Ogos 2021. Dia dilihat sentiasa berfikiran positif dalam proses pemulihan.
Sementara itu, isterinya, Richa Novisha menerusi Instagram peribadinya meminta orang ramai agar memberikan ruang kepada mereka untuk berdepan dengan situasi ini.
“Attention! Please give us more time ya untuk privacy. I know. I know. He is ok," kongsi Richa Novisha di Instagram stories, Selasa.
Dia bagaimanapun memberitahu tidak mendapat banyak maklumat mengenai apa yang terjadi. Oleh itu, meminta waktu untuk dia sendiri menghadam masalah yang dihadapi oleh keluarganya.