Akon nyanyi dalam bola plastik elak dijangkiti Ebola?

Hamzah Hamid
Oktober 6, 2014 13:58 MYT
Foto dari Twitter Akon yang menunjukkan beliau menjayakan konsert dalam bola plastik di Goma.
Gimik unik atau taktik menghindari sesuatu kemungkinan buruk?
Penyanyi R&B dan hip hop, Akon yang menjayakan sebuah konsert di Goma, sebuah bandar di timur Congo dua minggu lalu, menimbulkan tanda tanya sekali gus kontroversi apabila tampil mendekati peminatnya dalam sebuah kurungan bola plastik.
Dalam konsert tersebut, penyanyi berusia 41 tahun yang popular melalui lagu Smack That dan Right Now itu berinteraksi secara dekat dengan ribuan peminatnya namun dia berada di dalam bola plastik lutsinar.
Tindakan tersebut, walaupun dilihat sebagai suatu kreativiti dalam persembahan hiburan, telah menjadi tajuk utama dalam pelbagai media kerana dikaitkan dengan kebimbangan terhadap penularan wabak virus Ebola di negara-negara Afrika.
Sejak Ogos lalu, penyakit berjangkit yang membawa maut itu telah mengorbankan lebih 40 orang sementara 70 kes jangkitan lagi sudah disahkan. Langkah berjaga-jaga kini turut diambil pihak berkuasa di kebanyakan negara yang berdepan dengan kemasukan dan migrasi warga Afrika.
Akon terlibat dalam menjayakan konsert di Afrika itu sebagai komitmen sokongan beliau sempena Hari Keamanan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
#Afrika #Akon #Ebola #konsert #plastik
;