Akim bagi semangat kepada Stacy puasa penuh

Gempak
Jun 3, 2016 09:29 MYT
Menurut Stacy, Ramadan kali ini berbeza kerana dia merasa teruja untuk berpuasa itu lain dari sebelum ini. - Gambar Astro GEMPAK

PENYANYI Akim mengaku teruja berpuasa sebagai pasangan suami isteri dan tidak sabar melalui pengalaman pertama berbuka puasa.

Menurut Akim Ahmad, 25, isterinya Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, nampak teruja untuk berpuasa buat kali pertama.
“Sebagai suami sudah menjadi tanggugjawab saya untuk membimbing isteri. Saya akan bantu dan memberi semangat kepada dia supaya dapat menyempurnakan ibadah puasa tahun ini.
“Saya juga akan mengajar dia untuk bangun sahur kerana selain sunnah Rasulullah S.A.W ia juga keunikan bulan Ramadan.
“Tapi saya tidak akan paksa Stacy kalau dia tak larat nak masak untuk sahur. InsyaAllah perlahan-lahan,” katanya kepada Astro Gempak, baru-baru ini.
Sementara itu, Stacy berkongsi pengalamannya cuba berpuasa pada tahun lalu.
“Saya pernah demam dan sakit kepala kerana kekurangan air. Dua hari saya cuba berpuasa, masuk hari ketiga saya demam.
“Itulah pengalaman yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila kerana ia sangat berharga dalam hidup saya,” ceritanya.
Bagaimanapun menurut Stacy, Ramadan kali ini berbeza kerana rasa teruja untuk berpuasa itu lain dari sebelum ini.
“Dahulu saya cuba berpuasa kerana mahu cuba mendekati cara hidup Islam. Kebetulan rakan-rakan saya juga ramai yang beragama Islam, saya kagum dan rasa hormat kepada mereka dan muslim yang lain kerana mampu berpuasa selama sebulan.
"Tapi sekarang situasinya berbeza di mana rasa teruja untuk sambut Ramadan itu datang sendirinya dan suami saya terus memberi semangat untuk saya sempurnakan puasa, InsyaAllah," katanya.
Stacy bersama Akim ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan mereka sebagai duta terbaru Kit Kat untuk kempen 'Jalan-Jalan Breakers' di Menara Surian, Damansara, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, pasangan suami isteri ini selain sibuk memenuhi undangan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, mereka akan terus memberi kerjasama kepada pihak Nestle' (Malaysia) dalam rangka mempromosikan kempen terbaru KitKat 'Jalan-Jalan Breakers'.

#Akim #Ramadan #Stacy
;