Ajoi Zainal, Aisha Retno dan 'Jerung Merah' antara peserta Big Stage musim keempat
Asyraf Roslan
Januari 19, 2022 17:25 MYT
Januari 19, 2022 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun tidak bersiaran, rancangan realiti, Big Stage yang popular dengan slogan Dominasi BBNU kembali buat musim keempat.
Bagaimanapun, sedikit tekanan akan diberikan kepada peserta untuk musim kali ini apabila setiap pemarkahan akan ditunjukkan secara langsung oleh para juri tetap dan jemputan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, ia merupakan satu kelainan yang diperkenalkan bagi memperlihat ketelusan pemarkahan untuk setiap peserta.
"Kami akan perkenalkan pemarkahan secara langsung, di mana setiap kali peserta buka mulut penonton akan dapat melihat bagaimana juri memberi markah, jika ada kesilapan penonton akan nampak bagaimana juri menolak markah para peserta," katanya semasa sidang media Big Stage 2022, yang diadakan di ibu negara pada Rabu.
Musim kali ini akan menampilkan beberapa barisan artis baharu antaranya Aisha Retno, Danial Chuer, Lia Aziz, Ajoi Zainal dan Sofiaa Marieylla atau lebih dikenali sebagai Squad Jerung Merah.
Big Stage kali ini turut menampilkan dua peserta dari luar negara iaitu Brunei, yang diwakili oleh Syafiq Abdilah dan Indonesia, Tegar, yang pernah popular dengan lagu 'Aku yang dulu bukanlah yang sekarang'.
Berikut merupakan antara barisan peserta Big Stage 2022:
Pada masa sama, selepas setahun berehat daripada rancangan realiti Big Stage, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga kembali menggalas mandat sebagai juri tetap di samping Ajai untuk musim kali ini.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 6 Februari 2022.
Pada 2018, Sarah Suhairi telah dinobatkan sebagai juara sulung program tersebut diikuti Han Byul (Big Stage 2019) dan Azzam Sham (Big Stage 2020).