Ajak Shiro nasihat suami isteri dalam 'Ging Gang Guli'
Gempak
Mac 16, 2018 20:56 MYT
Mac 16, 2018 20:56 MYT
PELAWAK dan pengacara, Ajak Shiro atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak, kini muncul dengan single terbaru yang berjudul 'Ging Gang Guli'.
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi Hafiz Hamidun ini diinspirasikan dari lagu rakyat antarabangsa yang popular suatu masa dahulu.
“Pihak pengurusan saya telah berbincang dengan Hafiz dan kami bersepakat untuk berkolaborasi dalam sebuah single berjudul 'Ging Gang Guli' yang merupakan lagu rakyat antarabangsa terkenal suatu masa dahulu tetapi telah diberikan nafas baru.
“Lagu ini merupakan lagu wajib pengakap alam persekolahan pada zaman kanak-kanak dahulu yang sangat mengimbau kenangan lalu dan sering dinyanyikan sewaktu jamboree.
“Saya juga diberikan kepercayaan oleh Hafiz untuk menulis sendiri bait-bait lirik lagu ini dan saya mengambil pendekatan berunsur nasihat kekeluargaan di antara suami isteri melalui pengalaman saya sebagai ketua keluarga,” kata Ajak.
Mudah bekerjasama dengan Hafiz, Ajak mengambil masa selama sehari untuk melakukan proses rakaman 'Ging Gang Guli'.
“Wujud keserasian antara kami dan saya rasa sangat mudah bekerjasama dengan Hafiz kerana dia sangat profesional dan tahu apa yang dia mahukan.
“Saya harap penggemar muzik di luar sana tidak kira umur mahupun latar belakang akan terhibur dengan buah tangan terbaru saya,” jelas Ajak.
Lagu 'Ging Gang Guli' boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu 'Ging Gang Guli' ini juga boleh peminat saksikan di YouTube.