Aishwarya Rai dikecam kerana iklan rasis
Kohilah Sekaran
April 24, 2015 16:46 MYT
April 24, 2015 16:46 MYT
PELAKON terkenal Bollywood Aishwarya Rai Bachchan telah dikecam oleh pengamal media sosial selepas bergambar untuk sebuah iklan yang dianggap rasis.
Iklan barang kemas jenama keluaran Kalyan Jewellers tersebut memaparkan gambar seorang kanak-kanak berkulit gelap memegang payung untuk Aishwarya Rai yang memakai perhiasan mewah itu.
Aishwarya Rai atau lebih dikenali sebagai Aishu, ketika menjawab kontroversi ini, menyalahkan agensi kreatif Kalyan Jewellers atas suntingan gambar yang dilakukan.
Difahamkan, semasa pengambaran iklan, Aishu tidak bergambar dengan kanak-kanak berkenaan seperti yang dipaparkan di dalam iklan surat khabar itu.
Perkara ini turut mendapat perhatian beberapa VIP seperti aktivis wanita untuk menulis surat terbuka kepada pelakon Bollywood itu dengan menyatakan pandangan mereka terhadap iklan tersebut.
Bukan itu sahaja, pengamal media sosial turut melahirkan rasa kecewa mereka terhadap pelakon cantik itu.
Kebanyakan mereka berpandangan iklan ini hanya bersifat rasis dan seolah-olah Aishwarya Rai menyokong perhambaan kanak-kanak.
“Kami berasa amat kesal jika kami secara tidak sengaja menyinggung sensitiviti mana-mana individu atau organisasi,” kata Kalyan Jewellers melalui laman Facebook mereka.
Iklan kontroversi itu kini ditarik balik.