Aishah terkejut, tak sangka video nyanyian spontan tepi jalan jadi tular
Gempak
April 25, 2024 12:30 MYT
April 25, 2024 12:30 MYT
JUARA Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4), Datuk Aishah tidak menyangka aksi spontannya menghiburkan pemandu kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya di hadapan kediaman keluarganya pada raya kedua baru-baru ini menjadi tular.
Menurut Aishah, tindakan yang dilakukannya itu adalah secara kebetulan dan tidak dirancang sama sekali.
“Sebenarnya masa itu saya beraya di rumah sepupu dan menunggu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Rumah sepupu saya pula memang berhadapan dengan jalan raya.
“Dari pagi saya perhatikan kereta banyak yang lalu lalang, saya pun terdetik bila lah agaknya saya dapat balik kalau begini.
“Tunggu punya tunggu, dekat depan rumah sepupu saya ini memang ada set karaoke, anak anak buah menyanyi saya pun turut serta.
“Beberapa lagu sudah saya nyanyikan tapi jalan masih lagi sesak, selepas itu saya nekad untuk pulang juga sebab kalau nak tunggu tak ada kereta memang tak balik saya.
“Jadi saya pun kata, okey last kopeklah nak menyanyi. Sekali lihat orang berderet tengok saya menyanyi.
“Saya pun sebenarnya tak sangka ramai yang tonton video itu selepas dimuat naik, laju mereka like,” kongsinya.
Aishah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pulman Kuala Lumpur City Centre pada Isnin.
Siap ada yang pusing balik
Bagaimanapun kata Aishah, bagi mereka yang kurang senang atau memberikan komen negatif, jangan terlalu serius kerana momen itu tujuannya adalah untuk menghiburkan orang ramai.
“Saya okey sahaja menyanyi begitu, sekadar untuk menghiburkan orang, happy happy sahaja, janganlah ambil terlalu serius.
“Sebab bila anda sudah menyanyi lama seperti saya, kebanyakan masa anda melakukannya untuk wang tetapi adakala saya melakukan untuk ‘passion’ saya.
“Bagi saya itu adalah momen pada ketika itu, tengok muka muka yang mengharungi jem itu layu sahaja, mengantuk, jadi apa salahnya saya prank sikit, tengok mereka perasan ke tidak ada artis.
“Ada yang hon hon, tidak kurang juga ada yang pusing balik berkali-kali. Seronok bila saya dapat lihat mereka gembira,” ujarnya.
Terdahulu, Aishah tampil bersahaja dengan kurung berbunga melantunkan lagu raya popularnya berjudul "Pulanglah" sambil disaksikan keluarga dan pemandu yang melalui hadapan rumah saudaranya di Palong 7, Negeri Sembilan.
Biarpun hanya bergantung pada mikrofon dan set karaoke kenduri kampung, kemunculan spontan Aishah itu mendapat pujian ramai. -Gempak
#Hari Raya Aidilfitri
#Aishah
#nyanyian spontan tepi jalan
#pemandu kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya