AirAsia siar tayangan perdana filem 'Kabali'

T K Letchumy Tamboo
Julai 22, 2016 08:51 MYT
Kabali ialah filem ke-159 lakonan Rajnikanth. - Gambar fail
'Demam Kabali' kini terasa di Malaysia.
Namun, 'wabak' yang mula menular sejak tiga bulan lalu hampir reda dengan tayangan perdana di ibu negara pada malam Khamis.
Tayangan perdana yang ditunggu-tunggu filem Tamil yang bernilai jutaan dolar itu dibawa khas oleh syarikat penerbangan rasmi, AirAsia Bhd (AirAsia).
Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee, berkata pihaknya sangat berbangga malah teruja apabila syarikat tersebut berpeluang bekerjasama dengan filem Kabali.
"Kami berharap kerjasama ini akan memberi peluang untuk membuka laluan dari India ke Malaysia akan meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, dan kita dapat mengembangkan lagi industri pelancongan.
"Melalui filem Kabali ini, kami dapat menjual Malaysia kepada semua orang di India dan juga dapat mengeratkan lagi hubungan India dan Malaysia," katanya.
Tambahnya, di masa hadapan, pihaknya bercadang untuk membuat kolaborasi dengan filem lain kerana ia sentiasa mencari kandungan yang baru yang dipercayai antara cara terbaik untuk mempromosikan jenama syarikat itu.
Diarahkan Pa Ranjith, Kabali mempertaruhkan Rajnikanth dalam watak utama dan turut membariskan pelakon terkenal Radhika Apte, Kishore, Kalaiyarasan, Dhansika serta Dinesh Ravi.
Filem gangsterisme ini turut dibintangi pelakon tempatan Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan.
Teaser Kabali iklan pra-tonton filem itu di portal YouTube dan laman sesawang sudah ditonton lebih 25 juta kali di seluruh dunia setakat ini serta diumumkan sebagai teaser Tamil paling digemari tahun ini.
Kabali ialah filem ke-159 lakonan Rajnikanth dan menyaksikan beliau membawa watak samseng bernama Kabalishwaran.
Ia ditayangkan secara serentak di 400 pawagam di India mulai semalam.
Menariknya, 'demam Kabali' di India seolah-olah tiada penghujung.
Beberapa portal berita negara berkenaan melaporkan gara-gara 'demam Kabali' beberapa syarikat di Chennai mengisytiharkan cuti di negara itu pada 22 Julai lalu sempena tayangan filem tersebut.
Ia ditayangkan secara serentak di 400 pawagam di India.
#AirAsia Berhad #Kabali #Spencer Lee
;