Air mata Ziana Zain menitis sewaktu buat persembahan
Astro Awani
Mac 11, 2018 18:04 MYT
Mac 11, 2018 18:04 MYT
"Retak kasih ini.. berlimpahan rona luka.. Telahpun kita simpan.. tak sedikit sejarah percintaan.. Puncak kasih kita.. Rendangnya oh seketika.. Bagai cerita satu mimpi episod cinta.."
Mungkin ada sesuatu pada bait lirik 'Puncak Kasih' itu hinggakan penyanyi Ziana Zain, tidak mampu menahan air mata ketika mendendangkan lagu tersebut di hadapan penonton dalam sebuah acara di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.
Suasana majlis tersebut menjadi sebak apabila Ziana dilihat tidak dapat meneruskan nyanyian khususnya apabila tiba di bahagian korus lagu berkenaan.
Dalam sebuah video yang dikongsi netizen, ibu kepada empat cahaya mata itu kelihatan terkedu sebentar dan terdiam dengan muzik dibiarkan terus berkumandang.
Bagaimanapun, Ziana yang seperti sedang menahan emosi gagal meneruskan nyanyian, lalu bait-bait lirik lagunya, tanpa diminta, dinyanyikan oleh penonton yang seolah-olah memahami apa yang dilalui penyanyi itu.
Hadirin yang berada di dalam dewan tersebut juga sesekali bersorak dan bertepuk tangan untuk memberi semangat kepada Ziana.
Difahamkan, sewaktu di pentas berkenaan, Ziana sempat meluahkan sedikit isi hatinya kepada penonton: "I'm strong (saya kuat). Sebagai selebriti pelbagai perkara boleh berlaku. Tapi kena 'move on', teruskan kerjaya."
Kata-kata itu telah mendapat sorakan daripada peminat dan penonton yang memberi sokongan kepadanya.
Terdahulu, para pemerhati dunia hiburan tempatan sudah maklum tentang kes suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, yang berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap anak mereka.
Pada 6 Mac lalu, Armin yang mendirikan rumah tangga dengan Ziana hampir 20 tahun lalu, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.
Armin sekali lagi dihadapkan ke mahkamah dua hari kemudian atas tuduhan pindaan mencederakan anaknya pada 24 Februari lalu.
Bekas ketua pramugara itu ditahan pada 30 Februari selepas Ziana sendiri membuat laporan polis pada tiga hari sebelumnya.