Air mata bonda buat Aishah di GV 4
Astro Awani
Disember 17, 2017 23:03 MYT
Disember 17, 2017 23:03 MYT
LAGU All By Myself nyanyian Celine Dion yang diberi nafas baharu dan persembahan tersendiri oleh peserta Gegar Vaganza 4 (GV 4), Aishah mencuri tumpuan pada Konsert Akhir GV 4 yang berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor
Aishah yang merupakan antara finalis GV 4 bukan hanya memukau penonton di rumah dan Pinewood Studios tetapi turut memberi kesan kepada salah seorang juri tetap, Hetty Koes Endang.
Hetty yang lebih mesra dengan panggilan bonda mengalirkan air mata ketika memberi komen kepada Aishah.
Air mata ikhlas itu tumpah ekoran kesungguhan dan penyampaian Aishah yang begitu menusuk hati Hetty.
Dengan bersungguh, Hetty nyata berpuas hati dengan penyampaian Aishah pada pusingan pertama konsert akhir GV4.
Jelas Hetty lagi, penyampaian, penghayatan dan dinamik yang diberikan Aishah 'total'.
Bagi pelantun lagu Janji Manismu itu, dia hanya mengangguk faham dan kelihatan merendah diri apabila menerima pujian tersebut.
Malah, setiap kali pujian diberikan Hetty, para peminat Aishah di Pinewood Iskandar Malaysia Studios menjerit selain diiringi tepukan gemuruh.