Air mata BCL tumpah saat dendang lagu 12 Tahun Terindah
Asyraf Roslan
Januari 28, 2023 11:30 MYT
Januari 28, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: 12 Tahun Terindah merupakan sebuah lagu curhat penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari selepas beliau kehilangan suaminya, Ashraf Sinclair.
Bait-bait lirik yang ditulis oleh Bunga atau lebih mesra dipanggil BCL sendiri bagi mengambarkan kesyukuran kepada yang Maha Esa kerana memberinya peluang untuk mengenali Ashraf.
Kembali ke Kuala Lumpur, tempat berputiknya cinta bersama arwah tidak mustahil untuk Bunga tidak terkenang dengan memori-memori lama.
Ketika mendendangkan lagu 12 Tahun Terindah di BCL Blossom Intimate Concert, Bunga kelihatan cuba menahan sebak di hadapan 2,800 para penonton yang hadir menyaksikannya pada malam Jumaat.
Penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia ini menyatakan sebenarnya dia sangat gementar untuk pulang ke Malaysia namun ia juga merupakan saat-saat yang sangat dinantikan untuk kembali ke rumah keduanya itu.
“Malam ini sebenarnya saya sangat gementar kerana kembali ke Malaysia bukanlah satu perkara yang mudah tapi ia saat yang sangat dirindukan untuk kembali ke rumah kedua saya,” katanya kepada penonton yang hadir.
Konsert yang berlangsung selama dua jam itu, BCL mendendangkan lebih kurang 21 buah lagu antaranya Ingkar, Tentang Kamu, Jangan Gila, Aku Wanita, Aku dan Dirimu, Karena Ku Cinta Kau dan Dance Tonight bersama puteranya, Noah Sinclair.
Pada masa sama, Plenary Hall gamit dengan jeritan penonton apabila Bunga menyanyikan lagu Mencari Cinta dan Mengapus Jejakmu bersama Ariel Noah walaupun hanya muncul di skrin sahaja.
Turut hadir di konsert adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Anuar Zain, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Ella, Hanis Zalikha dan Puteri Aishah.
BCL Blossom Intimate Concert yang dibawakan oleh Icon Entertainment berlangsung pada 27 Januari 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.