Aina Abdul nekad kenali peminat walau hasrat anjur konsert maya terpaksa ditangguh
Asyraf Roslan
September 25, 2021 09:45 MYT
September 25, 2021 09:45 MYT
SIAPALAH seseorang selebriti itu tanpa peminat mereka yang sentiasa menyokong mereka dari belakang.
Dan pastinya sebagai seorang anak seni, aktiviti bersama peminat itu harus diadakan bagi mengenali mereka dengan lebih dekat.
Perkara itu juga pernah dikongsikan oleh penyanyi Aina Abdul sebelum ini di mana dia ingin mengadakan konsert secara maya bersama peminat setianya hujung tahun ini.
Namun, baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu "Sumpah" itu menyatakan dia terpaksa melupakan hasratnya kerana terdapat beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan.
"Aina dengan team Aina tak dapat nak teruskan dengan konsert itu, sebab banyak perkara yang tak dapat dielakkan.
"Perancangan untuk virtual concert ni adalah benda baharu untuk Aina, dan Aina datang dari independent label, jadi ia sangat susah terutamanya dari sudut kewangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tapi bagi Aina, perkara itu sama sekali tidak menghalang hasratnya untuk berjumpa dengan peminat-peminatnya.
"Mungkin belum ada rezeki Aina lagi tapi Aina tetap ingin berjumpa dengan peminat Aina dan hiburkan mereka, kalau semuanya dah kembali pulih, saya akan berjumpa dengan mereka," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Aina juga menjawab persoalan netizen yang mendakwa bahawa dia 'scam' peminat melalui lagu berjudul "Aina Abdul".
“Tidak, ia bukan scam ataupun recycle, Aina selalu ada sebab tersendiri apabila Aina melancarkan lagu. Perlu ada masa dan ruang untuk karya baharu.
"Aina tak mahu janji apa-apa, tapi saya selalu tulis karya baharu untuk diri saya, tiba masanya nanti saya akan lancarkan juga, insya-Allah,” katanya.
Lagu Aina Abdul kini boleh didengari di semua platform muzik sosial.