PENYANYI Aina Abdul gementar menantikan konsert solo pertamanya di pentas berprestij, Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

Aina berkata, dia juga tidak menyangka apabila konsert yang bakal diketuai Pengarah Muzik, Mac Chew dan Jenny Chin itu bakal dihadiri selebriti-selebriti terkenal tanah air.

"Alhamdulillah kurang dua minggu lagi saya bakal membuat persembahan di pentas yang cukup saya impikan selama ini.

"Ibarat mimpi jadi kenyataan apabila berpeluang mengadakan konsert solo di Istana Budaya.

"Namun apa yang membuatkan saya lebih teruja dan gementar adalah selain peminat yang sudah mendapatkan tiket menyaksikan konsert ini, pengurus saya memaklumkan ramai selebriti terkenal dan berpengalaman bakal menghadiri konsert ini.

"Antaranya ialah Ziana Zain, Anuar Zain, Ella, Datuk Nora, Nabil Ahmad, Datuk Hattan dan Hael Husaini serta ramai lagi sudah mengesahkan kehadiran mereka, sekali gus memberi satu tekanan kepada saya yang masih baru mengadakan konsert ini untuk membuat persembahan di hadapan mereka," katanya.

Menurut Aina, dia tidak putus berdoa agar segala persiapan menuju konsert "A Night With Aina Abdul 2.0" berjalan seperti yang dirancang.

"Saya ingin mencipta momen manis bersama peminat di konsert ini. Saya mahu penonton yang hadir merasai dan terhibur dengan setiap lagu yang dipersembahkan.

"Konsert ini adalah untuk kita semua menghargai diri sendiri dan saya akan menghadiahkan segala anugerah yang Tuhan berikan .

"Alhamdulillah persiapan menuju konsert berjalan dengan baik. Saya sudah melakukan beberapa sesi latihan bersama Mac Chew dan pasukannya.

"Insya-Allah minggu depan saya akan mengadakan sesi latihan di Istana Budaya untuk mendapatkan 'mood' sebelum tarikh konsert," katanya.

Dalam pada itu, Aina memaklumkan tiket konsert A Night With Aina Abdul 2.0 masih boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my manakala bagi mana-mana pihak korporat dan syarikat yang mahu membeli dalam kuantiti yang banyak, hubungi Azrul di talian 017-3006531 untuk harga istimewa.


*Artikel asal disiarkan di Gempak