Aiman Tino sertai UMNO, dilantik Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda

Sinar Harian
Mac 17, 2023 08:08 MYT
Rosni (kiri) hadir pada program penyerahan borang keahlian UMNO daripada Aiman (dua dari kanan) pada Khamis. -Foto Sinar Harian
HULU SELANGOR: Penyanyi popular, Aiman Tino, 25, menyertai politik dengan memilih UMNO sebagai wadah perjuangan.
Perkara tersebut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar melalui kemas kini di Facebooknya pada Jumaat.
Rosni yang juga Setiausaha Wanita UMNO memberitahu, pihaknya hadir dalam program penerimaan borang keahlian UMNO penyanyi muda tersebut Khamis lalu.
"Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor bahawa saudara Aiman Tino turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor," katanya.
Aiman menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim disaksikan oleh Rosni di Pejabat UMNO Hulu Selangor.
Dalam pada itu, menurut laporan sebuah akhbar, penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Rela Di Benci itu memaklumkan penyertaannya sebagai ahli UMNO bukanlah perkara luar biasa kerana sebelum ini ayahnya, Yusri Ishak juga pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan.
Aiman berpandangan hanya parti itu mampu memartabatkan agama, bangsa dan negara sejak dahulu, kini dan selamanya. -Sinar Harian
#Aiman Tino #UMNO sebagai wadah perjuangan #Rosni Sohar #ADUN Hulu Bernam