Aidilfitri: Peminat cari kubur Mamat Khalid, isteri ucap terima kasih
Harits Asyraf Hasnan
Mei 3, 2022 17:34 MYT
Mei 3, 2022 17:34 MYT
PEMERGIAN pengarah filem terkemuka tanah air Mamat Khalid ke negeri abadi pada Oktober tahun lalu sememangnya memberi impak yang cukup besar.
Kehilangan sutradara itu bukan sahaja ditangisi penggiat industri perfileman negara, tetapi juga peminat yang sentiasa rindukan karyanya.
Hambatan rasa rindu itu makin dirasai apabila Aidilfitri yang dirai tahun ini tidak disulami riang tawa manis senyumannya.
Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, Ipoh menjadi lokasi buat mereka melepaskan kerinduan terhadap Allahyarham, pada Syawal ini.
Balu Allahyarham, Hasmah Hassan mengakui hiba dengan kehadiran orang ramai di pusara suaminya.
“Ada peminat Allahyarham yang datang dari Sungai Petani, Kedah.
“Saya sebak lihat salah seorang mereka merupakan anak autism yang minat sangat karya Allahyarham.
“Adik yang autism itu boleh hafal skrip dalam filem Hantu Kak Limah,” kongsinya kepada Astro AWANI.
Turut menziarahi kubur Allahyarham adalah rakan selebriti seperti penyanyi dan penyampai radio, Asmawi Ani atau Mawi.
Dia turut berkongsi foto menziarah kubur Allahyarham kepada Astro AWANI.
Hasmah pada masa sama turut menghargai laporan komprehensif Astro AWANI semasa pengebumian Allahyarham - sekali gus memudahkan orang ramai terutama para peminat mengetahui lokasi tapak perkuburan.