"Ahli nasyid juga manusia biasa" - Raihan mohon jangan cepat jatuh hukum pada Yasin
Gempak
April 1, 2022 12:01 MYT
April 1, 2022 12:01 MYT
KUMPULAN nasyid popular, Raihan memohon agar orang ramai tidak cepat menilai atau menghakimi Yasin Sulaiman susulan penahanannya akibat dakwaan mengedar ganja.
Menyifatkan Yasin sebagai seorang sahabat yang baik, salah seorang anggota Raihan iaitu Abu Bakar Mohd Yatim tidak adil untuk membuat tafsiran sendiri kerana tidak tahu apa perkara yang berlaku atau sedang dialami oleh komposer itu.
“Dia seorang sahabat yang baik… Semua orang tahu dia ada penyakit dan kita tidak tahu apa yang dialaminya. Jadi disebabkan itu jangan terlalu cepat menghukum.
“Saya cakap begini bukan sebab Yasin kawan saya tetapi sesiapa pun, kita janganlah cepat menilai orang. Sebab kita tidak tahu apa yang dilaluinya kerana dia ada penyakit bipolar.
“Masa mula-mula mendengar cerita ini pun kami tidak terus menilai sebab kami kenal dia bukan seperti itu,” katanya kepada Gempak.
Raihan ditemui ketika majlis pelancaran video muzik khas The Sunnah The Better yang merupakan kolaborasi bersama Alif Satar & The Locos.
Dalam pada itu, Raihan juga berpendapat tidak adil untuk menilai atau memberi tanggapan bahawa semua penyanyi nasyid bermasalah.
“Penyanyi nasyid juga manusia biasa yang ada kelemahan dan kekurangan… Jadi untuk keadaan sekarang kita doakan yang baik-baik buat Yasin, anak-anak dan juga keluarganya.
“Yang paling penting kita doakan ada pihak-pihak yang dapat membantunya, apa yang dilaluinya, kerana ini bukan kes biasa.
“Kita bersangka baik bahawa dia berpenyakit dan berdoa supaya Allah pimpin dan membantu dia hadapi masalah ini. Kami kenal dia bukan macam itu. Kami, kumpulan nasyid juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan, doakan yang terbaik,” jelasnya.
Terdahulu, Yasin yang juga merupakan anggota kumpulans nasyid Brothers satu ketika dulu telah ditahan pada 24 Mac di kediamannya atas tuduhan memiliki dadah jenis ganja.
Dia kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis dan berdepan hukuman gantung mandatori mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan.