#AgongKita: Saya dan Tuanku umpama satu roh, dua jasad - Rizalman Ibrahim

Azyyati Ahmad
Julai 24, 2019 16:00 MYT
Berkongsi minat yang sama dalam hal masakan hinggalah ke bidang hiasan dalaman membuatkan Raja Permaisuri Agong begitu dekat di hati Rizalman. - Astro AWANI/Shahir Omar
“Saya dan Tuanku umpama satu roh, dua jasad” - itu bagaimana pereka fesyen terkenal negara, Datuk Rizalman Ibrahim gambarkan tatkala ditanya mengenai keakrabannya dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Rizalman dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI tidak dapat menyembunyikan perasaan sebenar apabila bercerita mengenai Raja Permaisuri Agong yang baharu itu.
Katanya, Raja Permaisuri Agong dan beliau berkongsi minat sama - daripada memasak sehinggalah kepada rekaan hiasan dalaman.
Dengan itu, jelas pereka fesyen itu, perkongsian minat dan pilihan yang sama dalam kebanyakan hal menjadikan persabahatan yang terjalin antara beliau dan baginda Tunku Azizah sejak 15 tahun dahulu, kekal sehingga ke hari ini.
“Kalau nak diikutkan, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa saya dan baginda adalah satu roh dua jasad, yang mana saya dan baginda berkongsi pelbagai minat yang sama iaitu dari kraf tekstil, masakan, bidang perabot dan sehinggalah dalam hal sejarah.
“Disebabkan berkongsi minat yang sama maka kekallah persahabatan saya dan Tuanku sehinggalah baginda bakal dimasyhurkan menjadi Raja Permaisuri Agong,” katanya.
Kenangan di dapur
Rizalman, anak kelahiran Pulau Pinang berusia 47 tahun itu, dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan persalinan Raja Permaisuri Agong serta anakanda-anakanda baginda, khusus untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, 30 Julai ini.
Berkongsi pandangan beliau lebih lanjut mengenai Raja Permaisuri Agong, Rizalman berkata, keperibadian Tunku Azizah membawa makna sebenar ‘Raja Berjiwa Rakyat’ kerana baginda Tuanku tidak kekok mengenepikan protokol dalam banyak perkara.
Termasuk dalam bidang kegemaran baginda iaitu memasak, Rizalman sempat bercerita bagaimana baginda pernah mencemar duli memasak di dapur kediaman Rizalman secara tiba-tiba dan tidak dirancang.
“Ketika Tuanku berangkat masuk ke rumah saya, ketika itu saya katakan kepada baginda bahawa saya teringin memakan masakan itu ini. Secara tiba-tiba, baginda berkata - berikan saya ikan bilis, kicap, rempah dan sebagainya, dan baginda terus mula memasak (tanpa sebarang rancangan lebih awal).
“Ini menunjukkan baginda bukan seorang tukang masak yang dibuat-buat, atau tukang masak yang mengejar glamor dalam menghasilkan buku masakan, tetapi niat dan keikhlasan baginda untuk berkongsi tentang resipi rakyat, yang mana merupakan menjadi santapan raja di istana,” kata Rizalman lagi.
Jelas Rizalman, seringkali juga beliau menghantar mesej untuk bertanyakan kepada baginda tentang cara masakan dan resepi sesuatu juadah, dan pertanyaan beliau dijawab baginda secara bersahaja.
Keterujaannya berkongsi mengenai sisi lain Raja Permaisuri Agong pada pandangan matanya, membuat Rizalman turut bercerita tentang makanan yang terhasil daripada ‘air tangan’ Tuanku sendiri, dan terus menjadi kegemarannya sehingga hari ini.
“Baginda bukan hanya pandai memasak juadah seperti nasi campur, tetapi mahir juga dalam bidang baking. Antara juadah yang saya suka adalah kek buah Tuanku dan kebiasaannya saya akan meminta diletakkan ceri lebih dan Tuanku akan susun ceri itu dalam susunan huruf 'R' bersempena nama saya.
“Kemudian kalau lauk-pauk pula saya suka asam nenas yang diletak udang, dan ketika berkunjung di rumah saya, juadah itu yang dimasak Tuanku untuk tetamu tetamu saya,” katanya lagi.
Tambah Rizalman, lauk-pauk kampung merupakan makanan kegemaran baginda dan baginda juga kurang gemar juadah barat walaupun berdarah kacukan dan berstatus kerabat diraja.
Tenunan istimewa banduan
Bercakap mengenai persalinan pertabalan yang bakal dipakai Raja Permaisuri Agong nanti, Rizalman berkata, baginda Tuanku yang sememangnya berjiwa rakyat turut membawakan elemen itu dalam kain tenunan yang bakal disarung pada hari pertabalan baginda.
Katanya, itu jelas apabila baginda akan menyarung rekaan kain tenun yang diilhamkan baginda sendiri dari hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong di Pahang.
"Ini menunjukkan kemurnian hati Tuanku dalam menggunakan khidmat banduan-banduan di penjara, yang mana golongan ini kebanyakan dinyahkan dari masyarakat tetapi diangkat martabat oleh baginda sendiri.
"Saya sendiri sebagai pereka fesyen turut rasa tempiasnya apabila memegang hasil kerja tangan banduan dipenjara yang akan dipakai pada hari bersejarah dan gilang gemilang itu nanti," katanya.
Rizalman juga menyifatkan dalam persiapan menghadapi hari-hari pertabalan, baginda dilihat sangat teliti dan mementingkan perincian yang bersifat sentimental.
“Baginda seorang yang amat sensitif kepada persekitaran, sangat peka kepada segala jenis emosi, salah satunya dalam tenunan songket hasil kerja tangan banduan itu, baginda meminta untuk diselitkan lambang negeri Johor dan negeri Pahang di colek-colek tenunan kain tersebut.
“Ini merupakan satu perkara yang unik dan yang pertama seumpamanya di negara kita, sebelum ini tenunan Pahang tiada lambang-lambang sedemikian, dan research & development telah dilakukan oleh pihak penjara untuk menghasilkannya,” kata Rizalman.
Keping-kepingan emas
Jelas pereka fesyen itu lagi, baginda juga meminjam kepingan-kepingan emas milik Almarhumah Bonda Tuanku yang akan beliau jahitkan di kain persalinan pertabalan Tuanku bagi memberi elemen 'something borrowed'.
Selain itu, Rizalman berkata, beliau juga turut diberi amanah menjadi pereka dalaman Balairung Istana Negara, yang mana antara pesan Tunku Azizah kepada beliau ialah mencari kembali dua kerusi bersemayam yang pernah dipakai oleh kedua-dua almarhum Ayahanda Tuanku ketika kedua-duanya menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Apa yang saya lakukan adalah menyalin kembali kusyen dan bantal itu kepada tenunan songket Brunei,” katanya lagi.
Rizalman yang ditugaskan mempersiapkan salinan pertabalan Raja Permaisuri Agong turut juga menyediakan persalinan buat putera dan puteri baginda.
Dalam wawancara yang berlangsung sekitar satu jam setengah di butik Rizalman di ibu kota itu, beliau bersyukur kerana keakrabannya dengan baginda Raja Permaisuri Agung disifatkan sebagai kurniaan Ilahi.
"Dipertanggungjawabkan menyiapkan persalinan Diraja serta Balairung Istana dalam waktu yang singkat, adalah satu memori terindah buat diri saya apatah lagi pengalaman ini dapat saya kongsikan juga bersama anak dan cucu kelak, serta rakyat Malaysia.
Raja Permaisuri Agong dan Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal ditabalkan pada 30 Julai ini.
Pada Januari lalu, Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam hasil keputusan sebulat suara Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

WAWANCARA eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).
Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dan sebagai meraikan istiadat kebesaran diraja Melayu ini, kami di Astro AWANI juga akan menyiarkan pelbagai Laporan Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mulai 26 Julai ini.
#AgongKita #Al-Sultan Abdullah #Hari Pertabalan #Rizalman Ibrahim #Sultan Pahang #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Yang di-Pertuan Agong
;