Agensi pengurusan BTS bakal jadi pemegang saham terbesar dalam SM Entertainment

Agensi
Februari 10, 2023 17:53 MYT
Agensi gergasi hiburan Korea Selatan itu mengumumkan perjanjian yang mana HYBE bersedia memiliki 14.8% pegangan saham dalam SM Entertainment bernilai 422.8 bilion won Korea (RM 1449.2 juta).- VIACOM/Handout via REUTERS
SEOUL: Agensi pengurusan kumpulan K-pop terkenal BTS, HYBE dilaporkan bakal menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pesaingnya, SM Entertainment.
Memetik laporan CNN Business, langkah ini demi mengukuhkan penguasaan HYBE dalam industri muzik Korea Selatan, di mana ia sudah menjadi pemain terbesar yang sedang berusaha untuk berkembang ke luar negara.
Agensi gergasi hiburan Korea Selatan itu mengumumkan perjanjian yang mana HYBE bersedia memiliki 14.8% pegangan saham dalam SM Entertainment bernilai 422.8 bilion won Korea (RM1,449.2 juta).
Untuk info, SM Entertainment diasaskan penerbit muzik legenda, Lee Soo-man yang digelar sebagai "Bapa Baptis K-pop" di Korea Selatan.
Agensi itu juga kekal dikenali ramai apabila menguruskan deretan artis terkenal Korea Selatan seperti NCT 127, EXO, BoA dan Girl's Generation. Selain BTS, HYBE juga menguruskan kumpulan terkenal seperti NewJeans, Tomorrow x Together dan Seventeen.
Dalam pada itu, pengumuman gabungan ini turut menyaksikan saham SM Entertainment terus melonjak sehingga 15% di Seoul hari ini manakala saham HYBE meningkat 3%.
Sementara itu, HYBE juga mengambil langkah untuk mengembangkan pengaruhnya di seluruh dunia apabila mengumumkan sebuah lagi perjanjian besar di Amerika Syarikat sebagai pemilik Kawalan Kualiti di syarikat label muzik hip-hop yang mewakili artis popular termasuk Migos dan Lil Yachty.
Penganalisis internet dan hiburan di KB Securities, Sunhwa Lee berpendapat perjanjian ini juga dilihat akan membantu HYBE membina jenama lebih kukuh dalam pasaran muzik Amerika Syarikat (AS).
“Impian jangka masa panjang syarikat adalah untuk melangkaui sempadan muzik K-pop dan membangunkan artis global baharu merentasi pelbagai genre,” katanya.
#Amerika Syarikat #BTS #Hybe #SM Entertainment
;