Agak menjerit bawa lagu 'Semakin', akhirnya Siti Sarah buka mulut

Madiha Abdullah
Februari 8, 2019 20:25 MYT
SITI SARAH: "Mungkin ini kesilapan daripada pihak kami sebab ramai yang suka susunan muzik asal." - Foto Instagram/@sitisarahraissuddin
PENYANYI Siti Sarah, memohon maaf kerana gagal menyampaikan lagu Semakin dengan baik pada Anugerah Juara Lagu 33, minggu lalu, kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Kata Sarah, dia sedar jangkaan tinggi penonton khususnya peminat yang mengharapkan dia membawa pulang trofi Vokal Terbaik.
"Malam final Sarah tak sihat, tekak jadi perit mungkin kerana terlebih latihan, dan ramai yang cakap malam tu nyanyian tidak berapa baik dan agak menjerit-jerit sebab Sarah cuba untuk buat yang terbaik walaupun dalam keadaan yang tak sihat," tulisnya di Instagram.
Sarah juga menjelaskan susunan muzik yang dipersembahkan pada malam itu adalah hasil perbincangan dengan pihak pengurusan.
"Mungkin ini kesilapan daripada pihak kami sebab ramai yang suka susunan muzik asal.
"Tapi niat hanya satu, untuk memberikan yang terbaik kepada semua," tambahnya.
BACA: Hal yang boleh dipelajari di pentas AJL33
BACA: Haram nafikan kemaraan Misha Omar di AJL 33
Penyanyi berusia 34 tahun itu juga sempat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu persediaannya, selain berjanji akan melakukan yang terbaik jika berpeluang ke AJL di masa akan datang.
#AJL #Anugerah Juara Lagu #final #Instagram #kesihatan #penyanyi #Siti Sarah
;