Afjets bincang dengan Din dan Kid isu ganti rugi pembatalan konsert Search
Astro Awani
Jun 30, 2022 18:15 MYT
Jun 30, 2022 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi mencari penyelesaian dalam isu tuntutan terhadap ganti rugi atas pembatalan Konsert Search 35 Tahun, dua anggota kumpulan legenda tersebut, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) telah mengadakan perbincangan dengan pihak Afjets Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar memaklumkan pihaknya terbuka dan bersedia memenuhi syarat dan terma, yang sedang dibincang bersama dengan lanjut.
Amrul Nizar juga menjelaskan, Afjets yakin isu yang tertangguh ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
"Afjets merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang memberi maklum balas positif dan segera terhadap tuntutan berkenaan.
"Mereka telah menunjukkan sikap profesional dan tanggungjawab yang jelas ingin menjaga nama baik kumpulan Search. Kami memuji sikap mereka ini.
"Afjets masih meneruskan perbincangan dengan Kid dan Din secara langsung, tanpa melibatkan mana-mana pihak ketiga. Kami berharap perkara yang telah lama tertangguh ini dapat diselesaikan segera," katanya.
Dalam kenyataan itu juga, Amrul Nizar menjelaskan pihaknya belum menerima maklum balas dari dua lagi anggota Search, Suhaimi Abd Rahman (Amy) dan Nasir Daud.
Afjets juga menggesa semua pihak yang tidak berkenaan, termasuk yang mendakwa kononnya menguruskan kumpulan Search, supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas yang menimbulkan kekeliruan kepada semua pihak.
"Afjets juga menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Tuntutan ini bukan baru dimulakan selepas dua konsert berasingan baru-baru ini yang dijayakan oleh anggota dan bekas anggota kumpulan muzik Search, yang kini bergerak secara berasingan.
"Afjets hanya meneruskan tindakan mahkamah yang sudah dimulakan pada Oktober 2016 dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.
"Afjets hanya ingin menuntut haknya sebagai sebuah syarikat yang dirugikan dalam urusan yang dibatalkan oleh pihak yang berurusan dengannya lima tahun lalu," katanya lagi.
Baru-baru ini Afjets memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang bayaran ganti rugi dari anggota Search ekoran pembatalan Konsert Search 35 tahun yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017.