Afgan tak sabar nak bagi 'Panah Asmara' buat peminat Malaysia

Asyraf Roslan
Disember 17, 2022 09:40 MYT
Afgan Evolution Kuala Lumpur akan berlangsung pada 17 Disember 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun tidak berjumpa peminatnya di Malaysia, penyanyi popular Indonesia, Afgan mengakui teruja untuk kembali buat menghiburkan peminatnya menerusi konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur.
Menurut pelantun lagu Panah Asmara ini, untuk konsert kali ini dia mahukan konsert yang lebih santai
“Saya kalau boleh nak konsert ini dijalankan dengan lebih santai, saya nak semua peminat saya berhibur.
“Kalau mereka mahukan saya menyanyikan lagu secara spontan juga saya akan lakukan untuk mereka asalkan mereka semua pulang ke rumah dengan satu memori yang tidak akan dilupakan,” katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media Afgan Evolution Kuala Lumpur.
Selama dua jam, peminat yang hadir akan dihiburkan dengan 24 buah lagu, namun Afgan tidak mahu mendedahkan senarai lagu kerana ingin memberi kejutan kepada semua peminat yang hadir.
Pada masa sama, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza,33, juga menyatakan bahawa dia akan mendendangkan sebuah lagu penyanyi Malaysia kegemarannya.
“Saya akan nyanyikan lagu penyanyi kegemaran saya di Malaysia, tapi buat masa ini rahsia dulu tajuk lagu yang akan dinyanyikan namun saya rasa peminat saya pasti tahu dan mereka juga pasti tahu lagu tersebut,” tambahnya.
Afgan Evolution Kuala Lumpur akan berlangsung pada 17 Disember 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
#Afgan #Afgan Evolution Kuala Lumpur #konsert #Panah Asmara
;